Berita Terkini

SPRM Komited Lahirkan Pengamal Poligraf Profesional

Kuala Lumpur, 21 Mac – Seramai 16 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya menerima pentauliahan sebagai pemeriksa poligraf yang diadakan di Dewan Tuan Ismail, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini hari ini.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, Latihan Poligraf Berakreditasi ini julung kali diadakan dengan kerjasama American Polygraph Association (APA) menandakan komitmen SPRM dalam memperkasakan integriti dan usaha-usaha membanteras gejala rasuah di Malaysia melalui sains poligraf.

 

Beliau dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengarah MACA, Dato’ Hj Idris Zaharudin berkata, pegawai terbabit telah mengikuti pelbagai modul latihan yang merangkumi pengujian jenayah dan proses saringan selama tiga bulan membabitkan latihan berbentuk teori serta praktikal dikendalikan oleh lima orang tenaga pengajar dari Amerika Syarikat dan United Kingdom.

 

“Pegawai yang ditauliahkan perlu menyahut cabaran untuk menjadi pakar poligraf di Malaysia dalam tempoh tiga tahun dan menjadi yang terbaik di peringkat Asia dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

 

“Saya yakin dengan komitmen berterusan daripada pegawai-pegawai dalam kepakaran poligraf akan memberi manfaat kepada SPRM dan pemegang taruh,” katanya.

Hit : 577