Berita Menarik

IBR Bukti Komitmen Lembaga PERKESO Perangi Rasuah

Putrajaya, 20 Mac – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) konsisten menyemak Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan risiko rasuah dalam proses kerja ditangani dengan penambahbaikan kepada kawalan dalaman sedia ada.

 

Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato' Sri Subahan Kamal dalam ucapannya berkata, proses ini bersifat holistik merangkumi semua pejabat PERKESO di seluruh negara dengan membangunkan Daftar Risiko Rasuah dan ini jelas mencerminkan PERKESO tegas dalam pengurusan governans dan integriti bagi mendepani cabaran rasuah.

 

“Perkara ini terbukti apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam penilaian semula tahap risiko rasuah organisasi telah menurunkan tahap risiko rasuah PERKESO daripada ‘Tinggi’ kepada ‘Sederhana’,“ katanya di dalam Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Lembaga PERKESO 2024 yang dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki di Dewan Utama, Menara PERKESO, di sini hari ini.

 

Katanya, PERKESO juga telah melaksanakan Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 tahun 2023 iaitu Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Penubuhan Jawatankuasa Tatakelola Di Peringkat Persekutuan, Negeri Dan Kementerian, Jabatan, Agensi Kerajaan di mana Jawatankuasa Antirasuah telah digantikan dengan Jawatankuasa Tatakelola PERKESO berkuatkuasa 5 Disember 2023.

 

Program IBR ini merupakan komitmen PERKESO di bawah Kementerian Sumber Manusia dalam usaha memerangi rasuah selaras dengan misi dan visi ke arah membentuk negara yang bersih dari amalan rasuah. Kali terakhir IBR Ahli Lembaga PERKESO bersama SPRM adalah pada 26 November 2021.

 

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Dato’ Hajah Norison Ramli: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, TPj Nazli Rasyid Sulong.


Hit : 613