Berita Menarik

SPRM Sedia Kongsi Kepakaran Bantu Fungsi Dan Tugas IPCC

Putrajaya, 19 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima kunjungan hormat daripada ahli Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

 

Kunjungan tersebut telah diketuai oleh Pengerusi IPCC Datuk Zolkopli Dahalan dan disambut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Hj Azam Baki.

 

Pertemuan dua hala ini bertujuan untuk berkongsi pengetahuan, bertukar-tukar pandangan berkaitan fungsi serta tugas IPCC dalam pengurusan krisis, integriti pegawai dan siasatan terhadap pegawai polis yang melakukan kesalahan dalam perkhidmatan.

 

Tan Sri Dato’ Sri Azam Baki berkata, SPRM menyambut baik peluang mengadakan kerjasama erat dengan mana-mana badan berkanun dalam membanteras jenayah rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

 

“Kami bersedia berkongsi kepakaran dan pengalaman kepada IPCC yang ditubuhkan untuk menjalankan fungsi dan kuasa sebagai badan pemantau bebas terhadap pasukan polis membabitkan aspek siasatan aduan berkaitan salah laku,” katanya.

 

IPCC merupakan sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839) yang diwartakan pada 18 Oktober 2022 dan mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2023.

 

Sementara itu, Datuk Zolkopli turut memohon khidmat pegawai SPRM P44 dan P29 untuk ditempatkan di IPCC bagi membantu dalam menjalankan siasatan yang melibatkan kesalahan jenayah polis.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM atas perkongsian pengalaman dan pandangan yang dapat memperkukuhkan penubuhan IPCC ini.

 

Turut hadir anggota IPCC, Dato’ Tan Kang Sai yang juga mantan Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM dan Setiausaha IPCC, Puan Siti Jalilah Abd Manap.

 


Hit : 597