Berita Menarik

SPRM Perkukuhkan Jalinan Kerjasama Dengan MIA

Putrajaya, 19 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima kunjungan hormat daripada pihak pengurusan Malaysia Institute of Accountants (MIA), di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

 

Kunjungan tersebut diketuai oleh Presiden MIA, Dato’ Seri Dr. Mohamad Zabidi Ahmad dan disambut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki.

 

Pertemuan dua hala yang diadakan di pejabat Ketua Pesuruhjaya SPRM ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran kedua-dua agensi dalam memerangi jenayah rasuah selain turut memperkenalkan barisan kepimpinan baharu MIA.

 

Tan Sri Dato’ Sri Azam berkata, fokus SPRM adalah kes-kes berskala besar terutama sekali yang melibatkan ketirisan dana negara dan mengembalikan hasil negara. 

 

Beliau berkata, tugasan SPRM bukan sahaja tertumpu kepada kerja-kerja operasi, tetapi juga meliputi tugasan pencegahan dan pendidikan.

 

“SPRM juga bersedia menjalinkan kerjasama dengan MIA yang mempunyai kepakaran tersendiri sekiranya perlu dalam menjalankan siasatan sesuatu kes untuk kebaikan negara,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden MIA,  Dato’ Seri Dr. Mohamad Zabidi berkata, MIA adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Akauntan 1967, dengan mandat untuk mengawal selia dan membangunkan profesion perakaunan di Malaysia dalam menyokong pembangunan negara.

 

Beliau berkata, MIA bertindak sebagai satu-satunya badan yang diberi kuasa mengawal profesion perakaunan Malaysia, menjadikan seseorang wajib menjadi ahli MIA untuk memperoleh tauliah menjalankan profesion perakaunan di Malaysia.

 

Tanggungjawab MIA termasuk memberi didikan dan seliaan kualiti serta pelaksanaan untuk menjamin kredibiliti profesion dan memelihara kepentingan awam.

 

Turut hadir Pengarah Bahagian Analisa Kewangan SPRM, KPKPj Mohd Azwan Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

 


Hit : 560