Berita Terkini

Semua Pihak Perlu Pastikan Aktiviti Dirancang Selari Matlamat Keberhasilan SPRM

Putrajaya, 19 Mac - Pernyataan keberhasilan hasil (outcome), prestasi petunjuk utama (KPI), pengukuran dan sasaran bagi tahun 2025 perlu bertepatan dengan fungsi sektor, bahagian dan negeri sebelum dikunci masuk dalam sistem MyResult pada April ini.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi berkata, semua pegawai bertanggungjawab (PIC) kewangan dan penyelaras (DO) KPI hendaklah memastikan pernyataan KPI tersebut adalah yang terkini dan bukan disalin dari tahun sebelum.

 

Beliau berkata, KPI yang diwujudkan juga mestilah dipersetujui oleh Ketua Aktiviti (pengarah masing-masing) tanpa mengabaikan hala tuju dan kehendak yang ditetapkan oleh Ketua Program.

 

”Sekiranya hala tuju dan kehendak Ketua Program tiada dalam penetapan KPI Ketua Aktiviti, maka, ianya perlu diwujudkan dalam setiap KPI Ketua Aktiviti masing-masing.

 

”Semua PIC dan DO KPI perlu memahami dengan jelas tentang KPI yang ingin dicapai setiap tahun dan prestasi pencapaian KPI yang akan dilaporkan berdasarkan pengukuran KPI yang telah dirangka dalam sistem MyResult dan MACCKPI.

 

“Secara keseluruhannya, KPI yang dirangka mesti selaras dengan hala tuju dan sasaran yang ditetapkan oleh Pengurusan Tertinggi SPRM,“ katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Penjajaran Key Performance Indicator (KPI), Outcome Based Budgeting (OBB) SPRM Tahun 2025 di Dewan Serbaguna SPRM, di sini, hari ini.

 

Bengkel ini diselaraskan oleh Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan serta Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM.

 

Sementara itu, Dato’ Indera Junipah turut mengucapkan tahniah kepada semua PIC dan DO KPI atas komitmen dalam membantu menyelaras KPI-OBB di bahagian dan negeri masing-masing.

 

Beliau berkata, prestasi perbelanjaan SPRM yang telah dicapai pada tahun 2023 bagi Perbelanjaan Mengurus (OE) adalah sebanyak 99 peratus berbanding sasaran 98 peratus, manakala prestasi Perbelanjaan Pembangunan (DE) yang dicapai adalah sebanyak 99.97 peratus berbanding sasaran 92 peratus.

 

Turut hadir Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM, KPKPj Mohamad Tarmize Abdul Manaf, semua PIC Kewangan dan DO KPI SPRM.


Hit : 541