Berita Menarik

Datuk Abd Aziz Aban Bersara Wajib, 31 Tahun Berkhidmat Bersama SPRM

Putrajaya, 15 Mac – Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Datuk Abd Aziz Aban mula bersara wajib pada 15 Mac 2024 setelah 31 tahun berkhidmat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Beliau diraikan di Majlis Serah Terima Tugas Sempena Persaraan Pengarah Kanan BPGN di Mess Pegawai, Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

 

Datuk Abd Aziz dalam ucapannya berkata, sepanjang berkhidmat bersama SPRM akan menjadi kenangan terindah buat dirinya dan menghargai jasa serta pengorbanan semua pihak di Suruhanjaya ini.

 

"Ribuan terima kasih saya zahirkan kepada Pengurusan Tertinggi SPRM atas segala bimbingan, nasihat serta teguran yang diberikan sepanjang berkhidmat selama 31 tahun di sini,” katanya.

 

Tambahnya, beliau turut berterima kasih kepada Pengarah-pengarah Bahagian serta Negeri, pegawai-pegawai serta rakan-rakan di SPRM atas kerjasama dan kesepakatan untuk menyelesaikan masalah di dalam tugasan yang diamanahkan.

 

Datuk Abd Aziz memulakan tugas di Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1992 sebagai Pegawai Siasatan di Unit Siasatan, BPR Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada masa tersebut.

 

Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah berkhidmat di beberapa Bahagian seperti Bahagian Perisikan dan Bahagian Operasi Khas, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan serta di Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), sebagai Timbalan Ketua Pengarah 1).

 

Beliau juga berpengalaman luas dalam hal ehwal antarabangsa dan pengurusan polisi/dasar BPR/SPRM, selain mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam pengurusan rekod, teknologi maklumat, pencegahan rasuah yang meliputi governans serta pengurusan integriti agensi.

 

Sementara itu, pada majlis ini juga turut diadakan Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Kepada Timbalan Pengarah BPGN, Tuan Hj Mohd Gunawan Che Ab Aziz yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Indera Junipah Wandi selain acara simbolik "clock out" yang menandakan tamatnya perkhidmatan Datuk Abd Aziz bersama SPRM.

 

Turut hadir Pengarah-pengarah Bahagian serta Negeri SPRM.


Hit : 821