Berita Menarik

Pegawai Integriti SPRM Digesa Kongsi Pengetahuan Dan Pengalaman

Putrajaya, 14 Mac – Pegawai Integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditempatkan ke Unit Integriti Kementerian/Jabatan/Agensi luar digesa untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman sebagai pulangan pelaburan (ROI) kepada SPRM.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, Pegawai-pegawai Integriti yang ditempatkan kembali ke SPRM boleh menjadi kumpulan pakar bagi memberi nasihat dalam pengendalian kes-kes terutamanya kepada Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) dan Bahagian Siasatan.

 

“Tidak hanya memfokuskan kepada operasi semata-mata, malah usaha-usaha penambahbaikan tatakelola dan aktiviti kesedaran yang dilaksanakan di agensi-agensi berkenaan perlu diketengahkan.

 

“Media sosial merupakan medium yang efektif untuk menghebahkan usaha-usaha yang dijalankan oleh SPRM. Pegawai Integriti boleh berhubung dengan Bahagian Komunikasi Strategik untuk membuat hebahan tersebut,” katanya ketika berucap mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi SPRM Bersama Pegawai SPRM Yang Ditempatkan Ke Agensi Luar (MPSAL) Siri 34 Bil. 1 Tahun 2024 di Dewan Serbaguna SPRM, di sini semalam.

 

Dalam mesyuarat ini, turut dimaklumkan bahawa Dapatan Penarafan Semula Risiko Tahun 2023 Agensi Awam dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) mendapati sebanyak 37 Agensi Awam/ SBK ditarafkan sebagai risiko tinggi dan 549 pula ditarafkan risiko sederhana.

 

“Pegawai Integriti SPRM perlu faham akan kriteria penarafan risiko dan berkeupayaan untuk memberi penjelasan kepada Ketua Jabatan berhubung dengan penarafan risiko dan mengemukakan cadangan intervensi untuk penurunan taraf risiko di agensi terbabit,” katanya.

 

Selain itu, Datuk Seri Norazlan turut menggesa Unit Integriti dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) untuk melaksanakan kursus latihan dengan menggunapakai Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Rasuah (MPGIA).

 

“Melalui MPGIA, Pegawai Integriti akan mengetahui dan memahami dasar-dasar semasa berkaitan pembudayaan integriti, tadbir urus dan antirasuah.

 

“Malah, Pegawai Integriti akan berupaya membentuk nilai budaya antirasuah dan memperkemaskan tadbir urus di agensi masing-masing,” katanya.

 

Pada masa yang sama, beliau turut mengarahkan Cawangan LSPRM untuk membuat analisa kes-kes yang lambat diselesaikan dan perbezaan antara setiap tahun.

 

“Ini adalah bagi membolehkan kita merangka dan mengambil tindakan yang efektif bagi menyelesaikan kes-kes tertangguh.”.

 

Datuk Seri Norazlan turut merakamkan ucapan selamat datang kepada pegawai baharu yang ditempatkan ke agensi luar seramai 55 orang dan merakamkan penghargaan kepada pegawai yang ditempatkan kembali ke SPRM iaitu seramai 33 orang.

 

Turut hadir Pengarah-pengarah Bahagian SPRM.


Hit : 638