Berita Terkini

Kebajikan Warga SPRM Antara Fokus Utama Pengurusan Tertinggi SPRM

Putrajaya, 14 Mac -  Kebajikan Warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan antara salah satu fokus utama Pengurusan Tertinggi SPRM, bukan sahaja kepada warga Suruhanjaya ini malah melibatkan ibu, bapa, mertua dan anak warga SPRM.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi merangkap Pengerusi Kebajikan SPRM berkata, pada tahun lalu banyak penambahbaikan perkhidmatan dan kemudahan telah dilaksanakan bagi menjaga kebajikan warga SPRM.

 

Beliau berkata, ini dapat dilihat melalui penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Kebajikan SPRM Mewakili Kaum; Ahli Jawatankuasa Mewakili 7 Entiti di SPRM dan Jawatankuasa Sukarelawan Khairat SPRM.

 

Katanya, kesungguhan Pengurusan Tertinggi menguruskan  kebajikan dapat dilihat apabila  berjaya  menyatukan entiti-entiti  di bawah SPRM iaitu KOSPERA, Yayasan Prihatin, Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR), PUSPANITA, Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Surau Safinatun Najah dan AKRAB bekerjasama mengumpul dana menampung pembelian satu unit kenderaan pelbagai guna selain sumbangan individu dari warga SPRM sendiri.

 

“Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga SPRM yang telah memberikan komitmen padu dalam membantu dan menyokong semua pelaksanaan berkaitan kebajikan di Suruhanjaya ini. Semoga usaha bersama ini mampu menjadikan Suruhanjaya ini semakin relevan dalam memastikan pengurusan kebajikan berada dilandasannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Kebajikan di Auditorium SPRM, di sini semalam.

 

Dato’ Indera Junipah berkata, untuk sebarang kes kematian bagi penggunaan kenderaan utiliti atau pertanyaan tentang kebajikan boleh terus berhubung dengan Pegawai Kebajikan SPRM, KPKPs Hossen Abdul Rahim di talian 019-8182284.

 

Turut hadir Pengarah-pengarah Bahagian dan wakil kebajikan SPRM.


Hit : 564