Berita Menarik

Pegawai SPRM Perlu Kekal Relevan Mendepani Cabaran Mendatang

Kuantan, 6 Mac - Pengawai-pegawai kanan termasuk pengarah-pengarah negeri SPRM perlu melihat bagaimana kepimpinan yang ada dapat membina generasi baharu yang kekal relevan pada masa akan datang.


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, ini kerana pegawai-pegawai generasi muda adalah pelapis kepada pegawai-pegawai SPRM sedia ada dan mereka perlu dipersiapkan dengan ilmu-ilmu pengetahuan termasuk menimba pengalaman yang akan memacu kecemerlangan Suruhanjaya ini.



“Kita harus mencari jalan bagaimana untuk menjadikan seseorang pegawai ini kekal relevan dan dinamik supaya SPRM ini kelihatan berstrategik serta efektif,” katanya ketika berucap dalam majlis makan malam khas yang diadakan sempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM Bil.1 Tahun 2024 dan majlis perpisahan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Datuk Haji Abd Aziz Aban dan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT), Datuk Izani Wan Ishak yang akan bersara pada 15 Mac dan 14 Mei 2024 di AC Hotel By Marriott di Kuantan, Pahang di sini semalam.


Beliau berkata, Datuk Abd Aziz telah berkhidmat selama 31 tahun dengan memulakan tugas di Badan Pencegahan Rasuah (BPR) pada tahun 1992 sebagai Pegawai Siasatan di Unit Siasatan, BPR Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.


Katanya, sepanjang perkhidmatan, beliau telah berkhidmat di beberapa bahagian seperti Bahagian Perisikan dan Bahagian Operasi Khas, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan serta di Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), sebagai Timbalan Ketua Pengarah 1 serta kini sebagai Pengarah di BPGN.


Sementara itu, Datuk Izani pula telah berkhidmat hampir 40 tahun di BPR/SPRM iaitu sejak tahun 1984 sebagai Penolong Pegawai Siasatan yang ditempatkan di BPR Melaka dan berkemahiran tinggi dalam pengurusan kes-kes berprofil tinggi termasuk pernah berkhidmat di BPR Kelantan, Ibu Pejabat BPR, Bahagian Siasatan dan terakhir sebagai Pengarah di BPT.


“Saya mengucapkan selamat maju jaya dan selamat bersara kepada YBhg. Datuk-Datuk. Sumbangan dan segala usaha yang telah diberikan pastinya akan terus dikenang serta dijadikan panduan dan dorongan kepada warga SPRM yang akan meneruskan legasi ini.


“Semoga terus dikurniakan kesihatan baik, dilancarkan rezeki yang berpanjangan dan dipermudahkan segala urusan untuk menikmati alam persaraan bersama keluarga tersayang,” katanya.


Sementara itu, Datuk Abd Aziz dan Datuk Izani dalam ucapan masing-masing turut merakamkan penghargaan kepada barisan Pengurusan Tertinggi SPRM atas segala sokongan, bimbingan dan kerjasama dalam melaksanakan amanah yang diberikan.


Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali: Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi; Pengarah-pengarah Kanan Bahagian; Pengarah-pengarah Bahagian dan Pengarah-pengarah SPRM Negeri.


Hit : 682