Berita Menarik

Warga SPRM Digalak Melengkapkan Diri Dengan Pelbagai Pengetahuan Selari Perkembangan Teknologi Semasa

Kuantan, 5 Mac - Warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digalak untuk melengkapkan diri dengan sikap, kemahiran dan ilmu pengetahuan bersesuaian melalui program, pembangunan sumber manusia yang terancang serta berteraskan pembangunan kompetensi dan pembelajaran berterusan.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, perkembangan teknologi dan peredaran masa yang begitu pantas pada masa kini seolah-olah memberi peluang dan jalan baharu kepada penjenayah untuk menjalankan modus operandi mereka melalui pelbagai medium yang menjadikan jenayah rasuah semakin kompleks.


Beliau berkata, pegawai SPRM termasuk Pegawai Integriti SPRM yang ditempatkan di kementerian/jabatan/agensi/syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disarankan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran seiring dengan teknologi terkini melalui akreditasi serta latihan dianjurkan di Malaysia ataupun di luar negara.


“Sehubungan itu Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) perlu membangunkan program-program berkualiti dan mendatangkan manfaat kepada warga SPRM sama ada di peringkat domestik dan juga di persada antarabangsa."


“Penguasaan dan peningkatan ilmu pengetahuan serta kemahiran dalam pelbagai bidang amat penting agar kaedah/strategi dan teknologi terkini penyiasatan jenayah rasuah dan pengesanan aset-aset yang terlibat membuahkan hasil dan memberikan impak besar termasuk pertuduhan, pelucuthakan harta, kompaun serta pemulihan aset dengan mendapatkan semula dana yang telah diperolehi melalui cara tidak sah (ketirisan) dan dipulangkan kepada negara,” katanya dalam ucapan perutusan Pengerusi sempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah (MPP) dan Lain-lain Mesyuarat berkaitan SPRM Bil.1 Tahun 2024 di AC Hotel By Marriott di Kuantan, Pahang di sini hari ini.


Tan Sri Dato’ Sri Azam berkata, perancangan dan tindakan operasi siasatan hendaklah diperkemas serta diselarikan dengan perancangan dan tindakan di Sektor Pencegahan melalui tindakan penyiasatan tatakelola dan pendidikan masyarakat yang berimpak tinggi agar lebih berkesan dan menyeluruh.


Beliau turut menyarankan agar Pengarah-pengarah Negeri SPRM menjadi lebih efektif dengan memberi fokus kepada isu-isu lebih penting seperti kes-kes berprofil tinggi dan pemulihan aset melalui kerjasama dengan Bahagian Perisikan SPRM yang memiliki keupayaan daripada segi teknologi dan rangkaian.


Mengenai penerimaan kenderaan Special Purpose Vehicle (SPV), Tan Sri Dato’ Sri Azam berkata, SPRM bercadang menambah jumlah kenderaan pengiring bagi mengiringi kenderaan SPV yang membawa OKT sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
“Namun, sebagai langkah berjaga-jaga pihak SPRM boleh memohon bantuan daripada pihak polis untuk mengiringi kenderaan OKT ke mahkamah,” katanya.


Dalam mesyuarat itu, pihak MACA juga diminta menganjurkan kursus-kursus antarabangsa berkaitan penyiasatan dan perisikan supaya imej SPRM kelihatan lebih baik di peringkat antarabangsa.


Selain mesyuarat MPP, turut diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK); Mesyuarat Pengurusan Operasi (MPO); Mesyuarat Pengurusan Pencegahan SPRM (MPPS) dan Mesyuarat Penyelarasan TKP (P&P).


Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali: Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi; Pengarah-pengarah Kanan Bahagian; Pengarah-pengarah Bahagian dan Pengarah-pengarah SPRM Negeri.


Hit : 602