Berita Menarik

Anugerah Khas Srikandi Bagi Mengiktiraf Sumbangan Wanita SPRM

Putrajaya, 5 Mac - Program Sambutan Hari Wanita Peringkat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tahun 2024 telah diadakan di Auditorium, Ibu Pejabat SPRM, semalam.

Program yang julung kali diadakan ini direalisasikan hasil daripada kerjasama strategik di antara Gender Focal Team (GFT) Suruhanjaya, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) dan PUSPANITA SPRM.

GFT yang diterajui oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi, merupakan pasukan pemboleh daya agenda mengarus perdana gender di SPRM dalam menjayakan dasar-dasar Kerajaan.

Sambutan Hari Wanita SPRM ini juga merupakan sebahagian daripada program utama yang telah dirancang pada tahun ini memfokuskan kepada penglibatan wanita dalam mendukung aspirasi Suruhanjaya.

Majlis sambutan telah dirasmikan oleh Pengerusi PUSPANITA SPRM, Puan Sri Normah Mohd Zin, turut mencadangkan Anugerah Khas Srikandi SPRM bertujuan mengiktiraf khidmat bakti wanita di peringkat Suruhanjaya berdasarkan kepada mekanisme penilaian yang akan diteliti dan dibangunkan kelak.

Inisiatif pengiktirafan ini akan melakar naratif baharu dalam memartabatkan peranan wanita bagi memperkasa SPRM sebagai sebuah organisasi yang inklusif.

"Pegawai wanita yang dipilih ini perlu memberi sumbangan dalam pelbagai aspek khususnya dalam menjayakan agenda Pemerkasaan Wanita," katanya ketika berucap merasmikan program Sambutan Hari Wanita Peringkat SPRM bagi Tahun 2024 di Auditorium SPRM, di sini hari ini.

Setiap tahun pada 8 Mac, Sambutan Hari Wanita Antarabangsa akan disambut sebagai simbolik penghargaan kepada golongan wanita sedunia. Ia merupakan sambutan yang mengiktiraf kejayaan diperoleh oleh golongan wanita di seluruh negara tanpa mengira latar belakang, agama, etnik, budaya dan status.

Pada tahun ini, “Wanita Dijulang Negara Gemilang” telah diangkat sebagai tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Program ini juga diharapkan dapat menyuntik semangat wanita terutamanya kepada PUSPANITA untuk bergerak lebih aktif dalam melaksanakan program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada semua.

Sehubungan itu, Puan Sri Normah Mohd Zin mengharapkan supaya lebih ramai pegawai dan kakitangan baharu wanita SPRM menyertai PUSPANITA.

Antara pengisian program semalam dimulai dengan ceramah bertajuk “Tangan Yang Menghayun Buaian” yang disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Islam Selangor, Dato' Profesor Madya Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah. Program kemudian diteruskan dengan sesi forum bertajuk “Wanita dan Dunia Digital” membabitkan ahli-ahli panel terdiri daripada Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Tuan Haji Nor Azamir Haji Alias; Ahli Jawatankuasa Aduan SPRM, Datuk Ruziati Mior Ahamad Ariffin dan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Puan Farah Ezlin Yusop Khan, serta KPKPj Zakiah Hassan dari Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang bertindak sebagai moderator.

Selain itu, pihak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) turut membuka reruai bersama dengan gerai jualan untuk memeriahkan lagi program sambutan ini.


Hit : 674