Berita Menarik

SPRM, ITBM Tumpu Kerjasama Strategik Didik Pelajar Sekolah

PUTRAJAYA, 4 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memperhalusi kerjasama bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dalam penerbitan buku dan penganjuran aktiviti di sekolah.

 

Hasrat kerjasama tersebut telah disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Encik Sakri Abdullah ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki, di sini hari ini.

 

Ia termasuk penterjemahan dan penerbitan buku berjudul Bribe Busters: A Trace Comic Book yang dihasilkan oleh TRACE International, sebuah organisasi bukan untung yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

 

Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata kerjasama ini merupakan suatu usaha untuk mendidik pelajar sekolah secara santai mengenai gejala rasuah dan memupuk kesedaran bahaya amalan rasuah.

 

“Para pelajar akan tertarik dengan komik dan infografik yang menarik untuk membaca berkenaan gejala rasuah.”

 

“Selain itu, kita turut perlu memberi insentif sebagai penghargaan kepada guru-guru untuk bersama-sama menggerakkan aktiviti antirasuah di sekolah,” katanya.

 

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM,  KPKPj Samsul Salip; Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan SPRM, Puan Wan Noraishah Wan Mohamad Isa; Pengurus Pembangunan Perniagaan ITBN, Tuan Nor Azanizan Anawar; Ketua Jabatan Penerbitan ITBN, Tuan Ahmad Suhaimi Yunos dan Ketua Bahagian Hak Cipta ITBN, Puan Hanani Laidin.


Hit : 688