Berita Menarik

Ahli Politik Diseru Tidak Terlibat Rasuah Dan Salah Guna Kuasa

Seremban, 4 Mac  - Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki menyeru semua ahli politik agar tidak terlibat dengan sebarang jenayah rasuah terutamanya salah guna kuasa seperti melantik saudara atau sekutu dalam memberi projek yang berkepentingan untuk diri sendiri.

 

Beliau berkata, rasuah dan salah guna kuasa akan merosakkan imej, kredibiliti dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan ahli politik dan kerajaan.

 

"Keterlibatan dalam jenayah rasuah boleh merosakkan imej negara sekaligus mencemarkan sistem pentadbiran negara di mata dunia," katanya dalam Program Bicara Eksekutif Antirasuah Bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan Ke-15 di Wisma Negeri, Negeri Sembilan, di sini hari ini.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM turut menasihatkan ahli politik untuk sentiasa mematuhi kod etika parti politik dan undang-undang yang telah ditetapkan.

 

“Ahli Yang Berhormat juga perlu lebih telus dalam mengisytiharkan kepentingan secara terbuka bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan serta salah tanggapan masyarakat yang boleh menjejaskan keputusan atau tindakan ahli politik berkenaan,” katanya.

 

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun menzahirkan sokongan penuh kepada pihak SPRM dalam menjalankan siasatan kepada pelaku rasuah dalam kerajaan negeri ini.

 

Pada program itu turut diadakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan bagi membuktikan komitmen kepimpinan dan memperlihatkan keikhlasan kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif dan bebas rasuah dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

 

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri,  Negeri Sembilan, Dato' M K Ibrahim Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim; Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan  Undangan Negeri, Pengarah-pengarah Kanan dan Pengarah-pengarah Bahagian serta Negeri SPRM.


Hit : 502