Berita Menarik

SPRM Lancar Kenderaan SPV Bagi Memantapkan Operasi

SPRM LANCAR KENDERAAN SPV BAGI MEMANTAPKAN OPERASI

 

Putrajaya, 1 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan aset baharu yang terdiri daripada kenderaan khas atau 'Special Purpose Vehicle' (SPV) yang telah diubah suai sepenuhnya.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, SPV jenama Weststar Maxus V80 tersebut telah difabrikasi bagi dijadikan kenderaan untuk membawa orang kena tahan (OKT) ke mahkamah dan juga dijadikan kenderaan persenjataan.

 

"SPV ini difabrikasi khas dengan ciri-ciri keselamatan daripada segi pengiringan OKT ke mahkamah. Ia juga dilengkapi dengan sistem pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) meliputi sistem kamera 360 darjah yang pertama seumpamanya diguna pakai oleh agensi penguatkuasaan di negara ini.

 

"Sistem CCTV ini boleh dipantau terus dari Ibu Pejabat SPRM walaupun kenderaan tersebut berada di negeri-negeri.

 

"Selain itu, ia juga dilengkapi dengan alat pengesan GPS sebagai langkah keselamatan sekiranya terdapat insiden yang tidak diingini berlaku ke atas kenderaan ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Kenderaan SPV SPRM di Kelab Tasik Putrajaya, hari ini.

 

Beliau berkata, SPRM juga perlu maju kehadapan untuk sebarang perubahan yang berlaku kerana kaedah pelaksanaan mencegah rasuah perlukan penambahbaikan.

 

"Perkara ini perlu dititikberatkan supaya dapat memberi gambaran jelas kepada masyarakat untuk berubah ke arah memakmurkan negara ini supaya bebas dari perlakuan rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

 

Dalam majlis itu, sebanyak 17 buah kenderaan dengan 16 buah digunakan untuk membawa OKT akan diserahkan kepada setiap negeri manakala dua lagi akan ditempatkan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

 

Manakala sebuah lagi kenderaan persenjataan akan diserahkan kepada Cawangan Persenjataan, Bahagian Keselamatan SPRM sebagai pengangkutan senjata dan peralatan berkaitan.

 

Selain itu, dengan adanya SPV ini juga akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan kenderaan yang sesuai untuk digunakan sebagai kenderaan membawa OKT ke mahkamah.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Smart Aim Sdn Bhd, Dr Wan Aminah Wan Hassan berkata, SPV ini mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan dan ia berteraskan teknologi pertama yang dicipta di Malaysia.

 

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Indera Junipah Wandi; Ketua Pegawai Operasi (COO), Weststar Maxus Sdn Bhd, Julius Jonathan Netto; Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan (BKAP) SPRM, Tuan Sukairi Samsudin; Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, KPKPj Zuhairie Abu Bakar; Jurutera Mekanikal Penguasa Bahagian Perkhidmatan Mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR), Hamizan Husain; Ketua Bahagian Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Ir Ts Norhabib Mohd Kamin; Pengarah-pengarah Kanan dan Pengarah-pengarah Bahagian serta Negeri SPRM.


Hit : 666