Berita Menarik

Perdana Menteri Seru Semua Pihak Beri Sokongan Penuh Kepada SPRM Dan Kerajaan Banteras Rasuah

Kuala Lumpur, 29 Februari - YAB Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak untuk memberi sokongan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan dalam usaha untuk membanteras rasuah di negara ini.

 

“Kefahaman masyarakat terhadap rasuah masih mendatar dan menganggap gejala rasuah adalah satu perkara biasa. Negara perlu digegarkan dengan kebencian terhadap rasuah.

 

“Sebab itu saya cadangkan SPRM untuk adakan wacana sedemikian di seluruh negara dan membicarakan rasuah kerana ramai dalam kalangan elit, sama ada politik, korporat dan pengurusan negara agak tidak senang dengan wacana mengenai rasuah sebab mereka hidup dan bergelumang dengan itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di Hotel Berjaya Times Square, di sini hari ini.

 

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa mana-mana anggota Kabinet di bawah pimpinannya yang didapati terlibat dengan salah laku rasuah, wajib digugurkan daripada jawatan mereka.

 

Malah, SPRM tidak perlu merujuk kepada beliau jika ada laporan atau dakwaan rasuah atau salah guna kuasa yang membabitkan Kabinetnya.

 

Beliau turut menasihati Jemaah Menteri untuk menilai dan mengkaji sebarang projek yang telah diluluskan, sebelum meneruskannya bagi memastikan prosesnya telus, bersih dan boleh memberikan penjimatan.

 

“Perkara sebegitu penting untuk diteliti supaya wang rakyat dapat diselamatkan dan seterusnya dipulangkan semula kepada rakyat untuk manfaat bersama,” katanya.

 

NAC Summit 2024 merupakan program anjuran Kementerian Sumber Manusia dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dengan kerjasama SPRM.

 

Turut diadakan penyampaian sijil Anti-Bribery Management System (ABMS) oleh Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong kepada Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood sambil disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Azam Baki.

 

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Indera Junipah Wandi; Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM, Dato’ Haji Idris Zaharudin serta Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.

Hit : 659