Berita Menarik

Seramai 18 Pegawai SPRM Ditauliah Sebagai Pegawai ACTS

Ipoh, 28 Februari – Kursus Advance Special Operations Training (ASOT) mampu melahirkan skuad khas dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangani sebarang ancaman ketika menjalankan tugas yang berisiko tinggi.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, Skuad Taktikal SPRM ini julung kali diwujudkan sejak penubuhan Badan Pencegah Rasuah pada 1 Oktober 1967 bagi tujuan memberi perlindungan keselamatan kepada tugasan operasi SPRM.


Beliau berkata, pihak Pengurusan Tertinggi SPRM membuat keputusan menubuhkan skuad khas ini selepas melihat kepada keperluan mendesak berdasarkan kepada beberapa insiden ancaman yang berlaku sebelum ini.


"Kelahiran Skuad Taktikal SPRM ini bukan untuk menandingi Pasukan dan Skuad Khas agensi lain yang ada dan telah lama ditubuhkan, sebagai contoh Pasukan Khas Taktikal (PASTAK), Jabatan Imigresen Malaysia; Customs Operational Battle Force Response Assault (COBRA), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan lain-lain agensi, malah SPRM memerlukan lagi latihan dan perkongsian daripada pasukan-pasukan ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pentauliahan Pegawai Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM di Kompleks Latihan Tempur Jarak Dekat (CQB) VAT 69 Komando PDRM, Ulu Kinta, Perak di sini hari ini.


Seramai 18 pegawai SPRM yang ditauliah dipakaikan beret dan pisau keramat serta tampalan bendera Malaysia dan logo ACTS oleh Tan Sri Dato’ Sri Azam sebagai tanda menamatkan kursus ini dengan cemerlang.


Kursus ASOT ini telah dilaksanakan selama 14 hari dengan latihan bermula di lapang sasar PDRM, Kampar dan berakhir di Kompleks CQB. Pasukan ACTS SPRM turut mempelajari kemahiran ‘Close Quarter Combat’ dalam menyelamatkan mangsa daripada penjenayah.


Pasukan ACTS ini juga akan dipastikan agar sentiasa bersiap siaga dan meningkatkan kemahiran serta kecekapan dari semasa ke semasa.


Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Indera Junipah Wandi; Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, KPKPj Zuhairie Abu Bakar; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC), Ng Kong Soo; Timbalan Komander 69 Komando, Asisten Komisioner Polis (ACP) Rosmadi Rosli; Timbalan Komander Briged Utara PGA, ACP Mohd Noh Khamis; Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Polis (SUPT) Mohamad Nazri Daud dan jurulatih ACTS SPRM, Muhammad Fuad Mat Noor.


Hit : 1009