Berita Terkini

Pengarah Bahagian Dan Negeri SPRM Disaran Tingkat Kecekapan Melalui Pelaksanaan Dasar Outcome Based Budgeting

Port Dickson, 27 Februari – Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran meningkatkan kecekapan melalui Outcome Based Budgeting (OBB).

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi ketika membacakan teks ucapan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Hj Azam Baki berkata, pendekatan OBB akan memberi penekanan kepada impak dan keberkesanan projek dan program dimana bukan lagi dilihat daripada segi perbelanjaan dan output.

 

“Mulai tahun ini juga, KPI pengarah bukan sahaja dinilai daripada segi prestasi belanja, tetapi juga prestasi perolehan turut dipantau. Sekurang-kurangnya 80 peratus perolehan mesti dilaksanakan mengikut perancangan perolehan tahunan yang telah diluluskan.

 

“Semua pengarah yang terlibat perlu bekerjasama rapat dengan Bahagian Kewangan untuk mengenal pasti kaedah terbaik melaksanakan projek-projek yang telah digariskan dan memastikan keseluruhan peruntukan tersebut dibelanjakan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada majlis Taklimat Kursus Key Performance Indicator, Outcome Base Budgeting and Policy of MACC 2024 yang diadakan di Tasik Villa International Resort Port Dickson, di sini hari ini.

 

Tan Sri Dato' Sri Azam turut mengingatkan agar melaksanakan kawalan perbelanjaan dengan rapi mengikut peraturan ditetapkan selaras dengan arahan Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (KSN) melalui surat bertarikh 18 Oktober 2023 berkaitan Arahan Kawalan Perbelanjaan Awam Kementerian/Jabatan.

 

“Saya pasti dengan adanya kerangka keberhasilan yang menjadi tunjang kepada OBB sempurna dan tepat, akan memudahkan semua bahagian dan negeri menyediakan permohonan bajet tahunan SPRM serta mempertahankan keperluan bajet tersebut kepada pihak Kementerian Kewangan, khususnya Budget Review Officer," katanya.

 

Seramai 40 orang terdiri daripada Pengarah-pengarah dan Timbalan Pengarah Bahagian serta Negeri SPRM selain pegawai DO OBB hadir ke kursus berkenaan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Hit : 557