Berita Menarik

Pembukaan SPRM Cawangan Mersing Perlu dimanfaatkan semua pihak

Mersing, 25 Februari- Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi melaksanakan integriti dan tatakelola baik sekaligus menjadi satu budaya dalam membanteras gejala rasuah di negara ini.


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki, berkata demikian dalam ucapan ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat SPRM Cawangan Mersing, di sini, hari ini.


Beliau berkata, Mersing merupakan tempat tumpuan pelancong dan pembukaan cawangan ini adalah satu langkah tepat bagi memperluaskan perkhidmatan Suruhanjaya ini kepada masyarakat setempat.


"Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan imej daerah Mersing seterusnya dapat meningkatkan ekonomi penduduk.


"Diharapkan penduduk-penduduk di daerah ini mengambil peluang dengan kewujudan pejabat ini dan dimanfaatkan bersama-sama dalam usaha untuk menjadikan negara ini bebas rasuah," katanya.


Terdahulu, Tan Sri Dato' Sri Hj Azam turut menyaksikan majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) melibatkan semua pegawai kerajaan daerah Mersing yang diketuai oleh Pegawai Daerah Mersing, Tuan Jamil Hasni Abdullah yang diadakan di Dewan Jubli Intan Mersing.


Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan oleh Pejabat Daerah Mersing dalam usaha pencegahan rasuah menerusi IBR ini wajar dipuji kerana ia merupakan permulaan atas kesungguhan memerangi jenayah rasuah di peringkat dalaman.


Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Dato’ Haji Azmi Alias, berkata pejabat SPRM Cawangan Mersing telah memulakan operasinya pada 1 Januari 2024 dengan kekuatan seramai tiga pegawai dan seorang kakitangan gunasama.


Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau; Yang Berhormat Puan Hajah Alwiyah Talib; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesional) SPRM; Dato’ Indera Junipah Wandi; Yang Di Pertua Majlis Daerah Mersing Tuan Mohd Norman Noh serta Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.


Hit : 630