Berita Terkini

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Hadir Sambutan Ulang Tahun ke-50 ICAC Hong Kong

Putrajaya, 23 Februari - Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya  telah menghadiri majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Independent Commission Against Corruption (ICAC) Hong Kong  dan majlis perasmian Hong Kong International Academy Against Corruption pada 20 hingga 21 Februari lalu.

 

Majlis itu turut dihadiri seramai kira-kira 600 orang tetamu daripada pelbagai negara antaranya Malaysia, Brunei, Singapura, Macau, Afrika Selatan, Thailand, Fiji dan juga wakil dari  United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC).

 

ICAC Commissioner, Woo Ying-ming dalam ucapan sempena sambutan ulang tahun itu berkata, misi ICAC adalah mengawal rasuah menerusi gabungan penguatkuasaan, pencegahan yang sistematik dan pendidikan kepada masyarakat.

 

Beliau berkata, kejayaan itu tidak mungkin dapat dicapai tanpa adanya komitmen daripada kerajaan, sokongan masyarakat dan usaha tanpa lelah yang berterusan dalam memerangi jenayah rasuah.

 

Ketua Eksekutif Hong Kong International Academy Against Corruption, John Lee pula berkata, salah satu fungsi utama akademi ini ialah menawarkan latihan sistematik dan profesional untuk agensi rasuah di seluruh dunia, termasuk di sektor awam dan swasta tempatan.

 

Sebagai permulaan, akademi ini dengan kerjasama UNODC akan menganjurkan “Professional Development Programme on Financial Investigation and Asset Recovery” mulai 19 hingga 27 Februari 2024.

 

Sementara itu, Dato' Sri Ahmad Khusairi  turut mengadakan beberapa perbincangan bersama delegasi antarabangsa yang hadir antaranya, Secretary General office of Public Sector Corruption Commission, Thailand Bhumivisan Kasemsook; Director of Investigation ICAC Hong Kong, Ken Ho King Yeung; Deputy Commissioner, Macao Anti Corruption Commission, Ao Leong Seong dan South Africa Anti-corruption and Governance Office, Robert P Humbrey.

 

Antara intipati perbincangan adalah berkaitan strategi dan pendekatan dalam tindakan penyiasatan kes-kes rasuah, pengesanan pengaliran pengubahan wang haram, hubungan kerjasama melalui memorandum persefahaman (MoU) dan pembangunan latihan keupayaan pegawai.


Hit : 619