Berita Terkini

Pempengaruh Media Sosial SPRM Bantu Tingkatkan Imej Suruhanjaya

Putrajaya, 22 Februari - Program Pemantapan Rakan Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2024 mampu melahirkan pempengaruh (influencer) media sosial yang dapat meningkatkan imej dan kredibiliti Suruhanjaya ini.

 

Ketua Pesuruhjaya 

SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, sudah tiba masanya SPRM memanfaatkan sepenuhnya warga Suruhanjaya bagi mengurus media sosial dan memperluaskan pengaruh SPRM dengan mempromosikan pelbagai maklumat termasuk berkaitan pencegahan rasuah.

 

"Saya berhasrat agar anda yang merupakan perintis kepada program ini dapat kekal relevan untuk menjadi "influencer" bagi membantu SPRM menyebarluas maklumat terkini berkaitan SPRM dengan lebih efektif.

 

"Ingin saya tekankan di mana semua peserta program perlulah mempunyai pemikiran kreatif dan inovatif ketika menghasilkan sesuatu kandungan mengikut acuan ataupun berdasarkan produk dari SPRM.

 

"Saya yakin dengan kebolehan serta kemampuan anda semua dan mencadangkan peserta program "influencer"  diaktifkan namun perlu mengikut garis panduan atau dipantau oleh jawatankuasa pemantau yang telah ditetapkan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM 2024 yang diadakan di Hotel Everly, Putrajaya hari ini.

 

Tambah beliau, selain membantu mempertingkatkan imej dan penjenamaan SPRM, kandungan yang dihasilkan juga diharap dapat melahirkan masyarakat yang bebas daripada belenggu jenayah rasuah.

 

Sementara itu, program yang dihadiri seramai 20 peserta berpeluang menimba ilmu pengetahuan dengan pengamal media dari Media Prima Berhad yang terdiri daripada Editor Kanan TV3, Halim Mohamed dan Azwaliza Azman; wartawan penyiaran TV9, Zharif Zhafri Aziz Desa dan pempengaruh media sosial, Zhiddin Aziz Desa.

 

Turut hadir Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, PKPj Kamaruddin M. Ripin.

Hit : 639