Berita Menarik

CeIO Perlu Pastikan Organisasi Capai Sasaran Sifar Rasuah

Kuala Lumpur, 22 Februari 2024 – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali menyifatkan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) berperanan untuk memastikan sesebuah organisasi mencapai sasaran sifar rasuah.

 

“Setiap CeIO yang ditauliahkan perlu sentiasa mempamerkan jati diri dan integriti tinggi sebagai cerminan produk keluaran Kerajaan yang telah diiktiraf pencapaiannya.

 

“Saya berharap setiap CeIO yang ditauliahkan dapat mengekalkan kelestarian program ini dengan menjunjung norma dan etika yang terpuji sepanjang masa,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Konvokesyen CeIO Kali Ke-10 di World Trade Centre, Kuala Lumpur hari ini.

 

Sementara itu, Tan Sri Dato’ Sri Azam dalam ucapan alu-aluannya berkata, peranan dan tanggungjawab CeIO semakin diperkukuh melalui salah satu strategi yang terkandung dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) iaitu memperluaskan penempatan CeIO di semua Badan Berkanun, Syarikat Milik Kerajaan dan Syarikat Terhad Dengan Jaminan yang ditubuhkan oleh Kerajaan melalui penubuhan Unit Integriti dan Governans (IGU).

 

“Penubuhan IGU merupakan pusat rujukan kepada pengurusan isu-isu berkaitan integriti di semua agensi awam.

 

“CeIO sebagai pegawai yang bertauliah telah diberi tanggungjawab untuk mengemudi IGU di seluruh negara sebagai satu usaha untuk membendung salahlaku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi,” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan hasil dapatan daripada satu kaji selidik yang dijalankan oleh Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) dan Ahli LPPIB pada tahun 2023 telah mendapati bahawa sebanyak 80.9 peratus responden mengiktiraf fungsi dan kepentingan CeIO dalam organisasi. Manakala 65.6 peratus responden bersetuju bahawa kehadiran CeIO di tempat kerja amat berkesan dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan pelanggaran etika dan pencegahan rasuah meliputi sektor awam, swasta dan GLC.

 

“Ternyata, kelangsungan pelaksanaan program CeIO sehingga ke hari ini membuktikan bahawa program ini masih relevan dan signifikan dalam agenda pencegahan rasuah di Malaysia,” katanya lagi.

 

Konvokesyen pada kali ini menyaksikan seramai 481 graduan CeIO daripada sektor awam, sektor swasta, Badan Berkanun serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) ditauliahkan hasil penganjuran 10 siri program CeIO dari tahun 2022 hingga tahun 2023.

 

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato Indera Junipah Wandi; Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM, Dato' Hj Idris Zaharudin; Pengerusi Green Packet Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah Kiple Pay Sdn Bhd yang juga mantan Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr Yusof Ismail; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang juga mantan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Husaini Omar; dan Ethics Arbitrator, Malaysia Direct Distribution Association (MDDA), Dr. Zainal Abidin Abdul Majeed serta Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.


Hit : 595