Berita Terkini

SPRM Kongsi Pengalaman Isu Antirasuah Kepada IAAC Mongolia

Putrajaya, 21 Februari -* Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai usaha-usaha antirasuah yang dilaksanakan kepada enam delegasi dari Independent Authority Against Corruption (IAAC), Mongolia sempena kunjungan ke Ibu Pejabat SPRM di sini, kelmarin.

Dalam sesi lawatan selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Februari ini yang diketuai oleh Pesuruhjaya Jeneral IAAC, Mongolia, Dashdavaa Zandraa itu telah disambut oleh Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Dato’ Mohd Hafaz Nazar.

Dato' Mohd Hafaz dalam ucapannya berkata, pertemuan ini menjadi platform IAAC, Mongolia untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama SPRM di samping dapat menyebar luas amalan baik secara berterusan.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas Lawatan Kerja IAAC, Mongolia ke Suruhanjaya ini untuk berkongsi pengalaman serta pengetahuan lebih lanjut tentang fungsi-fungsi SPRM di samping bertukar pandangan mengenai isu semasa dan antarabangsa,” katanya.

Dalam sesi lawatan itu, delegasi IAAC, Mongolia juga telah dibawa melawat ke beberapa fasiliti di Ibu Pejabat SPRM termasuk Konti MACC FM dan 'podium' di aras tujuh.

Delegasi ini turut diraikan dengan jamuan makan tengahari yang dihoskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di sebuah hotel di Putrajaya, kelmarin.

Hit : 615