Berita Menarik

Seramai 21 Orang Dilantik Sebagai Jawatankuasa Pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS)

Cyberjaya, 20 Februari - Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) di sini hari ini.

 

Mesyuarat yang  diadakan di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya ini dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi.

 

Menurut Dato’ Indera Junipah, mandat bagi pembangunan NACS telah diperolehi melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Rasuah (JKKMAR) Siri 17 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 6 Julai 2023.

 

Keputusan kerajaan untuk meneruskan agenda antirasuah melalui NACS ini adalah selari dengan keperluan instrumen di peringkat antarabangsa.

 

“Pembangunan NACS ini adalah sebagai suatu kesinambungan kepada NACP yang telah berakhir pelaksanaannya pada 31 Disember 2023.

 

“Perkara 5, United National Convention Against Corruption (UNCAC) menetapkan bahawa negara anggota hendaklah membangunkan dasar dan strategi antirasuah, dan dengan keputusan kerajaan untuk  meneruskan kesinambungan NACP 2019-2023 melalui pewujudan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS), maka semangat perkara 5 UNCAC ini terus dimartabatkan oleh kepimpinan negara.”

 

“Melalui mandat terkini yang diperolehi pada 6 Julai 2023, maka pengumpulan cadangan strategi dan idea pembaharuan yang bakal dirangka ini diharap memberi impak dan hasil yang signifikan kepada negara dalam konteks pembanterasan rasuah di Malaysia dan secara tidak langsung dijangka dapat menyumbang kepada peningkatan skor negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI),” katanya.

  

Dalam mesyuarat ini, seramai 21 orang telah dilantik sebagai Jawatankuasa Pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) terdiri daripada pakar di dalam fungsi utama sesuatu kementerian/jabatan/agensi dan juga dari pertubuhan bukan kerajaan atau NGO yang memainkan peranan yang penting membantu kerajaan dalam usaha menurunkan kadar jenayah rasuah di dalam negara.

 

Tarikh peluncuran NACS oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah ditetapkan buat masa ini adalah pada 7 Mei 2024.

 

Turut hadir Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan, SPRM, KPKPj Mohamad Tarmize Abdul Manaf dan Timbalan Pengarah BPGN, Tuan Hj Mohd Gunawan Che Ab Aziz.


Hit : 676