Berita Menarik

SPRM Dan JAN Tandatangani Nota Kerjasama Fokus Isu Ketirisan, Penyelewengan Dana Awam

Putrajaya, 20 Februari - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki dan  Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM dengan Jabatan Audit Negara (JAN) di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

 

Melalui kerjasama tersebut, JAN memberikan komitmen yang tinggi untuk bersama-sama dengan SPRM dalam usaha membanteras jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di negara ini. 

 

Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam dalam ucapannya berkata, Nota Kerjasama berkenaan akan memberi impak yang tinggi terutama untuk membantu SPRM dalam menyokong usaha Kerajaan ke arah “negara yang berintegriti dan bebas rasuah”.

 

"Ini menggambarkan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada JAN  untuk membantu SPRM dalam memerangi jenayah rasuah dan memperbaiki tata kelola pentadbiran, selain dapat mengenal pasti dan membantu mengurangkan ketirisan dalam pentadbiran negara.

 

"SPRM akan terus mengorak langkah dengan penuh komitmen dan konsisten untuk membanteras amalan rasuah dalam sistem perolehan kerajaan, mengelakkan ketirisan dan memastikan perolehan kerajaan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya dalam ucapannya berharap Nota Kerjasama ini dapat memperkukuhkan jaringan kerjasama dua hala kedua-dua institusi ini.

 

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada urus setia kedua-dua pihak khususnya pegawai dari JAN atas kejayaan meneruskan hasrat beliau setelah dilantik sebagai Ketua Audit Negara untuk meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

 

Melalui kerjasama tersebut, SPRM dan JAN akan melaksanakan perkongsian maklumat secara berterusan bagi mengukuhkan penglibatan kedua-dua pihak dalam pengesanan awal segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang boleh menjejaskan imej Kerajaan, mengancam kesejahteraan masyarakat, melunturkan nilai-nilai integriti, menghalang perkembangan dan pembangunan sosial, ekonomi serta politik negara.

 

Selain itu, kedua-dua pihak akan mengadakan program-program perkongsian pengetahuan dan latihan yang bersesuaian untuk pegawai SPRM dan JAN yang mana latihan ini akan dianjurkan secara bersama oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Akademi Audit Negara (AAN).

 

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Pengarah Bahagian Analisa Kewangan (BAK) SPRM, KPKPj Mohd Azwan Ramli serta Pengarah-Pengarah Bahagian SPRM.


Hit : 591