Berita Menarik

Mesir Terokai Kerjasama Dengan SPRM Banteras Rasuah

Putrajaya, 16 Februari - Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasir telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM hari ini. 


Kunjungan yang berlangsung kira-kira satu jam ini memberi fokus kepada inisiatif dan kerjasama strategik yang boleh diterokai dan dilaksanakan oleh kedua-dua pihak dalam usaha membanteras jenayah rasuah.


Tan Sri Dato' Sri Azam berkata, SPRM akan terus memperkasakan kerjasama sedia ada melalui pelbagai bidang termasuk mengadakan kunjungan hormat,  persidangan dan kursus antirasuah.


"SPRM menawarkan tenaga pakar dalam tiga bidang utama kepada Mesir iaitu siasatan jenayah, perkongsian metodologi siasatan kes 1MDB dan usaha-usaha yang dijalankan dalam pencegahan rasuah. 


"Kerjasama ini juga akan dapat memberi pengalaman baharu kepada kedua-dua pihak dalam menjalankan siasatan ke atas kes-kes jenayah rasuah," katanya.


Beliau berkata, SPRM akan meneruskan usaha agenda pemerkasaan pencegahan rasuah serta penambahbaikan  tatakelola nasional melalui pembangunan Strategi Anti Rasuah Nasional (NACS).


Sementara itu, Ragai berkata, Mesir berbesar hati dapat mengadakan kunjungan ini yang menjadi platform bagi membincangkan potensi kerjasama pada masa hadapan sekali gus memperkukuhkan kerjasama antarabangsa sedia ada.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SPRM dan menyambut baik peluang untuk mengadakan kursus yang melibatkan kerjasama pelbagai negara bagi berkongsi pengalaman membanteras rasuah terutamanya di dalam kes pengubahan wang haram. 


Turut hadir Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Dato' Mohd Hafaz Nazar.


Hit : 603