Berita Menarik

SPRM, UNODC Perkasa Hubungan Banteras Rasuah Global

Putrajaya, 13 Februari - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus memperkasakan kerjasama menentang rasuah menerusi pelbagai aspek di peringkat antarabangsa bersama The United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC).


Hasrat ini dicapai dalam kunjungan hormat delegasi UNODC yang diketuai oleh Regional Office of Southeast Asia and The Pacific Anti-Corruption Adviser, Annika Wythes ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.


Kunjungan yang berlangsung kira-kira satu jam ini memberi fokus kepada inisiatif dan kerjasama strategik yang boleh diterokai dan dilaksanakan oleh kedua-dua pihak dalam membanteras jenayah rasuah serta penyalahgunaan kuasa.


Tan Sri Dato' Sri Azam berkata, SPRM akan terus memperkasakan kerjasama sedia ada melalui pelbagai bidang termasuk mengadakan persidangan dan latihan antirasuah.


“SPRM menyambut baik segala perkongsian dan pandangan termasuk bekerjasama di dalam mengadakan persidangan atau bengkel berkaitan perolehan awam dan rasuah membabitkan pegawai awam asing,  selain menganjurkan latihan dalam aspek perakaunan forensik dan pendakwaan yang efektif.


“Kedua-dua pihak turut menyentuh mengenai sesi perbincangan meja bulat membabitkan  penambahbaikan yang disarankan oleh United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) lanjutan daripada 2 siri penilaian pematuhan United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) yang pernah dijalankan ke atas Malaysia.” katanya.


Sementara itu, Annika berkata, UNODC berbesar hati dapat mengadakan sesi kunjungan ini yang menjadi platform bagi membincangkan potensi kerjasama pada masa hadapan sekali gus memperkukuhkan kerjasama antarabangsa sedia ada.

“Tahniah juga diucapkan kepada SPRM atas usaha dan komitmen dalam menentang jenayah rasuah khususnya kerana berjaya melaksanakan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP), dan komited untuk meneruskan agenda pemerkasaan usaha pencegahan rasuah serta penambahbaikan tatakelola nasional melalui pembangunan Strategi Anti Rasuah Nasional ( NACS)." katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SPRM dan menyambut baik peluang untuk mengadakan bengkel yang melibatkan kerjasama pelbagai negara bagi berkongsi pengalaman membanteras rasuah di peringkat antarabangsa.


Turut hadir Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Dato' Mohd Hafaz Nazar.


Hit : 825