Berita Menarik

Majlis Dialog JKA Bersama Pegawai SPRM Tawau Capai Matlamat

Tawau, 9 Februari - Ahli Panel Jawatankuasa Aduan (JKA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengadakan mesyuarat dan majlis dialog bersama pegawai SPRM Cawangan Tawau yang dipengerusikan oleh Dato' (Dr) Asariah Mior Shaharuddin di pejabat SPRM cawangan ini pada Rabu lalu.


Majlis dialog yang dihadiri oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi, dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan taklimat ringkas berkaitan prestasi SPRM Negeri Sabah oleh Pengarahnya, Datuk TPj Karunanithy Y Subbiah.


Menerusi sesi dialog ini, pegawai-pegawai SPRM Cawangan Tawau  berpeluang mengajukan beberapa soalan kepada Pengerusi JKA, Dato’ (Dr) Asariah dan Dato' Indera Junipah. 


Bersempena dengan mesyuarat JKA itu juga, Dato' Indera Junipah turut merasmikan surau SPRM Cawangan Tawau yang baru siap dibina pada 29 Januari lalu.


Pembinaan surau ini merupakan inisiatif daripada Pengarah SPRM Negeri Sabah, Datuk TPj Karunanithy sebagai kemudahan kepada warga SPRM Cawangan Tawau untuk beribadah.


Perasmian surau tersebut dibuat dengan acara memotong reben secara simbolik oleh Dato’ Indera Junipah dan pemberian sejadah kepada pegawai SPRM, PKPs Susilahwatie Sino yang mewakili SPRM Cawangan Tawau.


Turut hadir tiga Ahli Panel JKA SPRM iaitu Dato' Dr Tam Weng Wah; Profesor Dato' Noor Aziah Hj Mohd Awal; Datuk Ruziati Mior Ahamad Ariffin dan Timbalan Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) SPRM yang menjalankan tugas Pengarah, PKPj Syed Mohd Termizi Syed Musa serta Ketua Cawangan SPRM Cawangan Tawau, PPj Richard Hii Ding Yin.


Hit : 765