Berita Menarik

Pejabat SUK Negeri Selangor Lafaz IBR Perangi Rasuah

Shah Alam, 7 Februari -Seramai 13 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) lantikan baharu dari Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor menzahirkan kesediaan untuk memerangi jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Bilik Gerakan Negeri, Pejabat SUK Negeri Selangor, di sini hari ini.


Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari berkata, IBR merupakan inisiatif oleh SPRM yang bertujuan memberi penekanan dan meningkatkan iltizam untuk kita menjauhi penyalahgunaan kuasa khususnya jenayah rasuah.


"Majlis IBR terakhir ataupun sebelum ini  melibatkan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan Ahli-ahli MMKN adalah pada tahun 2019.


"Kita melaksanakan IBR tahun ini selaras dengan pelantikan baru

ahli MMKN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Selangor pada Ogos 2023 yang lalu.


"Sesi Lafaz dan Menandatangani IBR pada hari ini menjadi bukti komitmen kerajaan negeri yang sentiasa memandang serius dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat," katanya.


Tambah beliau, keterbukaan dan sifat kebertanggungjawaban yang dipamerkan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor dalam menandatangani IBR ini turut menyatakan perkara ini turut membuktikan bahawa usaha membanteras dan memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab eksklusif SPRM semata-mata, tetapi ianya merupakan amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh masyarakat, khususnya dalam kalangan warga yang berkhidmat di agensi-agensi kerajaan bagi memastikan negara ini bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.


Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Selangor, Dato' TPj Hj Alias Salim berkata, majlis IBR merupakan contoh dan cerminan kepada ketegasan dalam menolak rasuah secara "total" sekaligus menunjukkan manifestasi yang jelas terhadap sokongan dan komitmen berterusan untuk bersama-sama menjadikan negara ini bersih dan bebas daripada dibelenggu jenayah rasuah.


"Inisiatif perlaksanaan majlis ini juga diharap mampu mewujudkan kefahaman dan meningkatkan sokongan Pentadbiran Kerajaan Negeri, khususnya pemimpin politik dalam usaha menzahirkan komitmen mencegah perbuatan rasuah," katanya.


Majlis Lafaz IBR ini diketuai oleh Dato' Seri Amirudin bersama Ahli-Ahli MMKN dari Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor.


Turut hadir SUK Negeri Selangor, Dato’ Setia Hj Haris Kasim; Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor; Dato’ Salim Soib @ Hamid; Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Exco-Exco Kerajaan Negeri Selangor serta Ketua-ketua Jabatan Pejabat SUK Negeri Selangor.


Hit : 768