Berita Terkini

Warga Kerja SPRM Perlu Tingkatkan Ilmu Pengetahuan Hadapi Cabaran Mendatang

Kuching, 6 Februari -Warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu komited, berintegriti dan setia dalam perkhidmatan demi merealisasikan visi SPRM untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas jenayah rasuah serta menjadikan SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, setiap pegawai perlu tegas dalam menjalankan tugas, setia kepada jabatan dan melaksanakan tugas mengikut kaedah terkini melibatkan sektor operasi, pencegahan mahupun pendidikan masyarakat.  


“Pegawai-pegawai SPRM perlu disediakan untuk mengambil alih pucuk pimpinan yang ada untuk memimpin organisasi pada masa akan datang.


“Tugas dan tanggungjawab  pada masa depan akan melalui pelbagai cabaran dan cara mana kita hendak menghadapinya adalah dengan melengkapkan diri dengan meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran kita. 


“Kita juga perlu tahu tindakan yang kita ambil adalah berlandaskan kepada sistem dan undang-undang sedia ada,” katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Khidmat Setia (PKS) SPRM Sarawak anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang diadakan di Hotel Pullman, Kuching di sini, hari ini.


Dalam majlis ini, seramai 54 warga SPRM Sarawak telah dianugerahkan Pingat Khidmat Setia (PKS) atas jasa serta khidmat bakti yang diberikan di Suruhanjaya ini.


Turut hadir Pengarah SPRM Sarawak, Datuk TPj Mohd Zaki Hassan dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, PKPj Kamaruddin M. Ripin.


Hit : 747