Berita Terkini

SPRM Perkukuh Hubungan Kerjasama Dengan Media Sarawak

Kuching, 6 Februari - Kerjasama di antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan media Sarawak terus dipertingkatkan melalui penganjuran Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Sarawak di sini, hari ini.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, hubungan kerjasama baik di antara SPRM dan media sudah lama terjalin khususnya bagi tujuan  mendidik masyarakat mengenai isu-isu rasuah. 


“Saya melihat peranan media dari dahulu hingga sekarang ialah mendidik masyarakat untuk memahami isu-isu tentang rasuah serta membenci rasuah menerusi pelbagai saluran platform media sedia ada.


“Masyarakat kini lebih berminat mengetahui sesuatu isu menerusi platform media baharu seperti TikTok dan sebagainya namun saya mahu melihat media arus perdana terus menulis laporan yang lebih panjang sekali gus mengalakkan minat membaca dikalangan rakyat Malaysia.


"SPRM akan terus mengamalkan ketelusan dengan media agar maklumat dapat disampaikan dengan tepat," katanya ketika berucap dihadapan kira-kira 50 pengamal media Sarawak yang diadakan di Hotel Pullman, Kuching.


Selain itu, beliau turut memuji penubuhan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak kerana ia adalah usaha baik bagi membantu mencegah rasuah dengan melihat kepada isu-isu tatakelola yang baik.


Dalam program ini, turut diadakan sesi perkongsian maklumat oleh Timbalan Pengarah Operasi SPRM Sarawak, KPKPj Hasbilah Mohamad Salleh mengenai peranan SPRM dan perkara-perkara yang media perlu tahu mengenai SPRM dalam sesi yang bertajuk “SPRM: The Untold Story”.


Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM turut menyatakan komitmen dan fokus dalam usaha untuk mengekang ketirisan akibat perbuatan rasuah dalam aspek penguatkuasaan, perolehan serta rasuah berprofil tinggi.


Terdahulu, Tan Sri Azam hadir di RTM Sarawak untuk sesi temubual di rancangan Selamat Pagi Malaysia dan stesen radio, Sarawakfm manakala di sebelah petang bersama dengan TV Sarawak (TVS) menerusi program Dialog TVS.


Sementara itu, Tan Sri Azam turut melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg di pejabat Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia Petra Jaya, Kuching.


Hadir sama semasa program cakna ini ialah Pengarah SPRM Sarawak, Datuk TPj Mohd Zaki Hassan dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, PKPj Kamaruddin M. Ripin dan Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, Sarawak, Ronnie Teo Teck Wei.


Hit : 700