Berita Terkini

Yayasan Prihatin Tekad Bantu Golongan Yang Memerlukan

Putrajaya, 5 Februari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melalui Yayasan Prihatin dan Unit Kebajikan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha-usaha menjaga kebajikan warga Suruhanjaya bagi meningkatkan perkhidmatan yang berintegriti, cekap, amanah dan produktif.


Ketua Pesuruhjaya SPRM merangkap Penaung Yayasan Prihatin, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, sejak Yayasan Prihatin ditubuhkan badan kebajikan ini bertanggungjawab untuk membantu ahli-ahli Yayasan dan ramai yang telah mendapat manfaat melalui pelbagai program yang dianjurkan.


“Ironinya, tidak semua orang berminat untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan ataupun sanggup menjadi sukarelawan untuk aktiviti berbentuk kemasyarakatan atas pelbagai sebab dan alasan. 


“Ganjaran yang akan diterima pada masa hadapan adalah perkara yang tidak nampak di mata, tetapi percayalah rezeki tidak pernah salah alamat dimana suatu hari nanti Allah SWT akan memberi ganjaran pahala tidak kira di dunia ataupun di akhirat.


“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua ahli atas kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada Yayasan selama ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Yayasan Prihatin SPRM Tahun 2024 di Auditorium Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.


Selain itu, beliau turut menasihatkan agar semua warga SPRM sentiasa cergas dan menjaga kesihatan meskipun sibuk dalam menjalankan tugas seharian.


Sementara itu, dalam majlis yang sama, turut diadakan sesi pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Prihatin SPRM yang menyaksikan Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, KPKPj Zuhairie Abu Bakar dipilih sebagai Pengerusi Yayasan Prihatin SPRM yang baharu bagi sesi 2024/2025.


Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Indera Junipah Wandi; Pengarah SPRM Negeri Perak merangkap bekas Pengerusi Yayasan Prihatin, KPKPj Ahmad Sabri Mohamed serta Pengarah-pengarah Bahagian SPRM.


Hit : 635