Kolumnis@SPRM

Jangan pandang serong usaha kerajaan hapus rasuah

Noor Mohamad Shakil Hameed

Penganalisis isu semasa merangkap pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM)


SUDAH beberapa kali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon agar segenap lapisan rakyat menyokong langkah beliau dan kerajaan yang mahu memerangi rasuah di negara ini dengan memperbaiki aspek tatakelola dan tadbir urus dalam pentadbiran negara secara menyeluruh.


Anwar mahu rakyat memberikan sokongan kepadanya tanpa berbelah bagi sebagai dorongan dan motivasi supaya dapat meneruskan dengan lebih agresif usaha bersepadu kerajaan serta agensi penguatkuasaan yang mula menyiasat segala salah laku dan ketirisan yang berakar umbi dalam pelbagai lapisan pentadbiran negara termasuk penyiasatan membabitkan kalangan golongan kenamaan.


Hal ini mencetuskan polemik apabila ada sekelompok anggota masyarakat seperti tidak senang dengan tindakan agresif kerajaan memburu pihak yang membolot harta negara dan melakukan pelbagai salah laku serta penyelewengan dengan tuduhan ia bermotif politik, pendakwaan terpilih, balas dendam serta mengugut.


Kita percaya individu yang membuat tuduhan seperti itu pastinya ada kepentingan peribadi yang menyebabkan mereka mula tidak senang duduk dan tidak berpuas hati apabila pihak berkuasa memulakan penyiasatan.


Dalam hal ini anggota masyarakat perlu berfikir dengan lebih rasional dan melihat dari sudut pandang yang lebih positif terhadap tindakan yang dibuat oleh kerajaan kerana selama ini kita juga yang sering merungut pihak berkuasa hanya fokus kepada bilis tetapi melepaskan jerung. Jadi bila mana pihak berkuasa mula memburu dan menyiasat jerung maka janganlah kita marah dan tidak berpuas hati pula.

                                                                                                                                         Sepatutnya kita lega dan berterima kasih kepada kerajaan dan pihak berkuasa kerana tindakan mula diambil tanpa mengira latar belakang pelaku demi mencari keadilan. Manakala pihak yang disiasat pula perlu berhenti merungut sebaliknya wajar mengambil peluang ini untuk membersihkan nama dari sebarang tuduhan dengan membuktikan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan seperti didakwa.


Jadi antara langkah yang boleh diambil oleh anggota masyarakat pada ketika ini ialah, jangan terlalu cepat dan mudah melatah, merungut mahupun termakan fitnah yang disebarkan oleh pihak yang ada kepentingan sebaliknya biarkan pihak berkuasa membuat kerja mereka agar pada akhirnya kita dapat melihat siapa yang benar dan siapa yang salah.


Selain itu, jangan sesekali terpengaruh dengan dakyah dan tohmahan seperti agensi penguatkuasaan disalahguna oleh kerajaan untuk membalas dendam, melakukan pendakwaan terpilih dan mengenakan musuh politik. Percayalah pihak berkuasa kita cukup profesional dan sentiasa amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa menyokong atau memihak kepada mana-mana kelompok.


Tuntasnya, kita perlu yakin dan percaya dengan agensi penguatkuasaan yang terlibat dan dalam hal ini seluruh rakyat Malaysia yang membencikan rasuah dan penyelewengan perlu menyokong penuh segala usaha yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


IKTIBAR


Anggota masyarakat juga perlu mengambil iktibar dengan apa yang sedang berlaku agar tidak terlibat dalam gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan kerana ingatlah sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.

Baik penjawat awam, pekerja swasta mahupun sebagai individu jangan sesekali terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dan mengancam aspek tadbir urus dan tatakelola pentadbiran negara atau mana-mana organisasi yang terlibat.


Ringkasnya, jangan menerima atau memberi rasuah, manakala yang berjawatan laksanakanlah tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas. Jangan sesekali mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat.

Ironinya, kesan rasuah dan penyelewengan semakin serius dan mula merosakkan moral rakyat, imej negara serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. Malah rasuah dan penyelewengan juga menyebabkan kerajaan tidak dapat melaksanakan lebih banyak lagi inisiatif bantuan kepada rakyat selain bantuan yang disediakan tidak sampai ke tangan kumpulan sasaran yang sepatutnya sebaliknya dibolot oleh pihak tertentu. Akibatnya usaha membasmi kemiskinan tegar juga mula terjejas dan kehidupan golongan miskin semakin terdesak.


Jadi tidak kira siapapun yang terlibat dalam hal ini, kita mahu SPRM menyiasat dan membawa mereka ke muka pengadilan. Dalam konteks ini, jangan sesekali biarkan pangkat, gelaran, kedudukan mahupun kekayaan dijadikan perisai oleh golongan yang membolot harta negara untuk melepaskan diri begitu saja.


Pada masa yang sama, inilah juga peluang terbaik kepada SPRM untuk membuktikan kepada semua bahawa mereka sebenarnya bergerak bebas dan profesional serta sentiasa melakukan siasatan secara telus dan bertanggungjawab tanpa diperalatkan oleh mana-mana pihak seperti tohmahan yang dilemparkan selama ini.


Dalam pada itu kita juga berharap kerajaan akan turut membuktikan komitmen dan iltizam dengan melakukan reformasi institusi yang dituntut dan dicadangkan oleh pelbagai pihak iaitu meletakkan SPRM di bawah bidang kuasa Parlimen supaya tidak lagi kelihatan ada pengaruh dari pihak eksekutif.


Ini juga bagi memastikan proses semak dan imbang agensi itu lebih bebas dan telus. Malah langkah ini juga boleh membantu mengelakkan persepsi negatif terhadap agensi penguatkuasa itu.


Hakikatnya, masalah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan tidak boleh diselesaikan dalam satu malam kerana sudah berakar umbi sekian lama justeru, ia memerlukan usaha berterusan selain iltizam dan komitmen tertinggi dari semua pihak bermula dari kerajaan hingga ke rakyat.


Masing-masing perlu sedar tanggungjawab dan sentiasa menginsafi kesan negatif masalah moral ini terhadap ekonomi dan pembangunan negara serta kesejahteraan hidup rakyat sekali gus memainkan peranan sewajarnya untuk memerangi masalah ini dari peringkat akar umbi lagi.


Kalau kita tidak mampu berbuat apa-apa sekalipun sekurang-kurangnya janganlah pandang serong atau menentang usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan pada ketika ini.


Justeru sebagai warga yang bertanggungjawab marilah kita menyokong penuh usaha kerajaan ini dengan bersama-sama berganding bahu dengan Anwar serta SPRM untuk memerangi rasuah di negara kita. Hakikatnya setiap seorang daripada kita mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam memerangi rasuah.


Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM. 

Hit : 1268