Berita Terkini

Isu Rasuah Dan Tatakelola Perlu Diberi Perhatian Oleh Semua Pihak

Putrajaya, 30 Januari – Isu rasuah, amalan tatakelola baik perlu dipantau dan ditangani bersama sekiranya mahu kedudukan negara ini sentiasa  dipandang tinggi oleh semua pihak.

 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) misalnya perlu berusaha untuk memantau dan menambahbaik prosedur yang tidak lagi relevan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

 

“Kita harus memudahkan sesuatu perkara dan bukannya menyusahkan. Kita perlu akui bahawa ada satu ketika dimana kita seakan terleka dengan isu tatakelola dan integriti.

 

“Saya berharap perkara tersebut tidak akan mendatangkan masalah pada masa hadapan kerana masih ada masa untuk memperbaikinya bagi melonjakkan semula ekonomi negara kita," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama dan Perasmian Seminar Governans Koperasi: Pengukuhan Integriti Ke Arah Kelestarian Koperasi anjuran IKMa di Hotel Dorsett, Putrajaya, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, kebersamaan semua pihak adalah penting dalam usaha meningkatkan sahsiah dan integriti di dalam organisasi, keluarga ataupun negara.

 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Haji Yahya Mat Sahri dalam ucapannya berkata, SPRM ketika ini mengklasifikasikan IKMa pada status risiko sederhana dan pihak pengurusan koperasi sedang berusaha untuk memastikan status ini berada pada tahap yang lebih rendah pada masa depan.

 

“IKMa perlu menguruskan tatakelola yang baik dan dicontohi oleh koperasi lain supaya akhirnya dapat meneruskan perjuangan di sektor ini," katanya.

 

Turut hadir Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor; Naib Canselor Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia, Profesor Dato’ Dr Azali Mohamed; Pengerusi Kumpulan Ramssol Group Berhad, Dato’ Abdul Harith Abdullah serta Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, TPj Nazli Rasyid Haji Sulong.

Hit : 852