Berita Terkini

Pasukan Bahagian Perisikan Dan Siasatan Muncul Juara Futsal Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM

Bangi, 27 Januari – Pasukan Bahagian Perisikan dan Bahagian Siasatan telah dinobatkan Juara masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita Program KSR Arena Kejohanan Futsal Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang diadakan di Uptown Sports Bangi di sini, hari ini.

Kejohanan futsal yang julung kali dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) SPRM itu menyaksikan sebanyak 29 pasukan bertanding terdiri daripada 22 pasukan lelaki dan 7 pasukan wanita membabitkan penyertaan dari bahagian-bahagian di Ibu Pejabat dan SPRM negeri.

Pasukan Bahagian Perisikan muncul Juara kategori lelaki selepas mengalahkan pasukan SPRM Kedah manakala tempat ketiga dimenangi oleh SPRM Pahang dan tempat keempat dimenangi oleh SPRM Melaka. 

Bagi kategori wanita pula, Juara menjadi milik Bahagian Siasatan, mengalahkan pasukan Bahagian Perisikan sekaligus muncul Naib Juara manakala tempat ketiga dimenangi oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan tempat keempat menjadi milik Bahagian Operasi Khas.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah kemenangan kepada pemenang-pemenang telah disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki. 

Juara bagi kejohanan futsal kategori lelaki masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,200 manakala wanita berjumlah RM2,200 serta Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Mohd Fakri Bokhri dari Bahagian Perisikan telah dianugerahkan pemain futsal terbaik lelaki manakala Rita Najwa Mohd Ritamurni dari Bahagian Siasatan muncul pemain terbaik wanita. 

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Presiden KSR, PsK Saiful Azri Mohamad serta Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.
Hit : 759