Berita Terkini

SPRM, Yayasan Prihatin Cakna Kebajikan Warga SPRM

24 Januari 2024 – Pihak Pengurusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yayasan Prihatin memberi sumbangan wang tunai kepada pemandu Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam (BUTSA), Encik Kamarul Azman Mohamed Jaafar bagi menampung kos perubatan anaknya yang terbabit kemalangan jalan raya pada 24 Disember 2023 lalu.


Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi di pejabatnya di sini, hari ini.

 

Dato’ Indera Junipah berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh kakitangan tersebut bagi menampung kos rawatan perubatan anaknya.

 

“Sumbangan ini juga adalah sebagai bukti kebersamaan dan motivasi kepada semua pegawai dan warga SPRM supaya tidak berasa terpinggir apabila ditimpa musibah,” katanya.

 

Sementara itu, Encik Kamarul Azman berkata beliau berasa terharu dan berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh pihak pengurusan SPRM dan Yayasan Prihatin.

 

“Bantuan ini dapat menampung kos rawatan anak saya yang patah kedua-dua belah tangan dan tulang leher,” katanya.

 

Hadir sama Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), TPj Lim Bee Kean; Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan (BPP), KPKPj Mohamad Tarmize Abdul Manaf; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Tuan Mohammad Shahizan Abdullah dan Setiausaha Yayasan Prihatin, KPKPs Hossen Abdul Rahim.



Hit : 803