Berita Terkini

PEKEMA, SPRM - Perkasa Kerjasama Banteras Rasuah

Putrajaya, 24 Januari - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima kunjungan hormat daripada Barisan Exco Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) bagi sesi 2023/2026 dalam usaha meneroka kerjasama strategik yang kukuh bagi membanteras jenayah rasuah.

Hasrat memperkasakan kerjasama ini dicapai menerusi pertemuan antara Presiden PEKEMA, Datuk Hj Mohamed Nazari Noordin terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Kunjungan yang berlangsung kira-kira satu jam ini memberi fokus kepada inisiatif dan kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan oleh kedua-dua pihak dalam membanteras gejala rasuah serta penyalahgunaan kuasa. 

Tan Sri Dato' Sri Azam berkata, SPRM sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama bersama PEKEMA bagi menambah baik inisiatif memerangi rasuah di negara ini.

“SPRM berharap hubungan antara SPRM dan PEKEMA ini dapat diperkasa terutama melalui perkongsian pengetahuan pada masa akan datang dan penganjuran program seperti forum berkaitan isu-isu rasuah serta penerangan berkaitan Akta-Akta SPRM untuk dikongsi bersama," katanya.

Sementara itu, Datuk Hj Mohamed Nazari turut menzahirkan penghargaan kepada SPRM atas inisiatif menjalinkan kerjasama sekaligus dapat memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak pada masa depan.

Turut hadir Timbalan Presiden PEKEMA, Dato’ Hj Wan Sazrudeen Dato’ Hj Wan Zaid.

Hit : 757