Berita Terkini

KKR Bekerjasama Banteras Rasuah Dan Tingkatkan Amalan Tatakelola

Putrajaya, 23 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima kunjungan hormat daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), bagi membincangkan kerjasama untuk membanteras rasuah dan meningkatkan amalan tatakelola baik di sini, hari ini.


Delegasi itu diketuai oleh Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Ahmad diiringi oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Dato' Ir. Haji Badioezaman Ab Khalik; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Ir. Sazali Harun; Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Arkitek Malaysia, Dato' Ar. Azman Hashim; Timbalan Ketua Eksekutif I CIDB, Razuki Ibrahim serta wakil Lembaga Jurutera Malaysia dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia.


Pada sesi pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam ini, telah membincangkan beberapa isu-isu mengenai kelemahan tatakelola termasuk isu Kartel yang menyebabkan ketirisan dana kerajaan, pembaziran serta risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki dan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam turut mengalu-alukan kerjasama intervensi untuk membanteras isu rasuah terutamanya dalam aspek perolehan.“Satu strategi akan dirangka di antara kedua belah pihak bagi mengurangkan ketirisan yang boleh memberi penjimatan serta pulangan yang baik kepada kerajaan".


“Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) juga merupakan platform terbaik dalam menerajui usaha pembaharuan dasar bagi menggalakkan amalan prinsip tatakelola baik oleh semua agensi di sektor awam,” katanya. Sementara itu, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam berkata, KKR sentiasa menyokong usaha SPRM berjuang membanteras rasuah melalui perkongsian kepakaran, kerjasama dalam siasatan mahupun khidmat nasihat.


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengurusan Tertinggi SPRM atas penempatan Pegawai SPRM di KKR yang telah diisi sejak Ogos 2023. “Penempatan pegawai SPRM di KKR telah memberikan satu isyarat kepada warga kerja KKR bahawa mereka sentiasa dipantau agar patuh terhadap semua undang-undang, peraturan, sistem dan prosedur,” katanya. Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman dan Pengarah Unit Integriti KKR, KPKPj Shahrul Nizar Mohd Shariff.


Hit : 788