Berita Terkini

BPGN Adakan Sesi Taklimat Kepada Ahli Jawatankuasa Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional

Putrajaya, 22 Januari -Seramai 84 wakil kementerian dan agensi sektor awam hadir pada sesi Taklimat Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023: Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional yang diadakan di sini, hari ini.


Taklimat anjuran Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertujuan memberi penerangan lebih jelas untuk memperkemas dan memperkukuhkan usaha pemantapan tatakelola dalam sistem pengurusan pentadbiran Kerajaan melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR). 


Pengarah BPGN SPRM, Datuk Abd Aziz Aban merangkap Setiausaha dan Ahli JKKTN berkata, JKKTN merupakan platform yang diperkemas bagi memastikan tindakan segera, berfokus dan lebih berkesan dalam menangani isu-isu kelemahan tatakelola yang boleh menyebabkan ketirisan wang awam, salah guna kuasa dan penyelewengan.


“Ini juga menggalakkan amalan prinsip tatakelola baik supaya diambil kira dalam perancangan, pembangunan dasar serta pelaksanaan inisiatif dan program oleh semua agensi di sektor awam.


"Selaras dengan Arahan tersebut, sesi taklimat di peringkat kementerian dan jabatan diadakan bagi memberikan penerangan kepada semua yang bertanggungjawab melaksanakan gerakan pemantapan tatakelola serta menjawab persoalan yang mungkin berbangkit berhubung Arahan ini.


"Setiap kementerian, jabatan dan agensi juga perlu menentukan ianya mempunyai objektif, strategi, pelan tindakan dan tempoh masa strategik bagi tujuan pencapaiannya," katanya dalam ucapan pada sesi taklimat yang diadakan  di Dewan Teater ICU, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Bangunan Putra Perdana, di sini.


Beliau berkata, pemantapan tatakelola dapat menyokong usaha pembangunan serta membantu meningkatkan daya saing negara selain mengatasi kelemahan-kelemahan dalam pentadbiran dan pengurusan kewangan kerajaan.


Katanya, langkah itu juga mampu mengurangkan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan serta mengurangkan risiko berlakunya gejala rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.


Datuk Abd Aziz berkata, JKKTN bukan sahaja wujud pada namanya, tetapi benar-benar berfungsi dan menjalankan tugasnya sesuai dengan terma rujukan yang telah ditetapkan dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak.


Hit : 604