Berita Menarik

SPRM, NAZAHA Meterai MOU Mantapkan Usaha Perangi Rasuah Di Peringkat Global

Putrajaya, 16 Januari - Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Oversight and Anti-Corruption Authority (NAZAHA), Arab Saudi dapat memantapkan usaha dalam memerangi rasuah di peringkat global.

Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam perkongsian kepakaran dan pengalaman memerangi rasuah, pertukaran maklumat dan penyertaan dalam program-program pencegahan rasuah serta bantuan teknikal sebagaimana yang dipersetujui bersama.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki dalam ucapannya berharap MoU tersebut dapat mengukuhkan jalinan kerjasama dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“SPRM bercadang untuk mengadakan lawatan rasmi ke NAZAHA pada tahun ini bagi perbincangan lanjut serta perkongsian pengalaman,” katanya.

Sementara itu, Presiden NAZAHA, Mazin Ibrahim M. Al-Kahmous dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada SPRM atas jalinan kerjasama melalui MoU itu.

Beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi komited dalam membanteras jenayah rasuah tanpa toleransi melalui beberapa inisiatif utama. Antaranya adalah Inisiatif Riyadh yang dikenali sebagai Globe I Network bertujuan untuk mewujudkan rangkaian operasi global di kalangan agensi antirasuah bagi memudahkan pertukaran maklumat dan program pembangunan modal insan.

“Sehingga kini, sebanyak 191 agensi antirasuah daripada 150 buah negara telah menyertai rangkaian tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mazin Ibrahim turut memaklumkan bahawa NAZAHA telah membangunkan inisiatif global untuk mengukur kadar rasuah yang mengambil kira perbezaan politik dan undang-undang setiap negara.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan SPRM untuk mendapat manfaat melalui inisiatif tersebut yang akan dilaksanakan selari dengan Prinsip Vienna ke arah rangka kerja global untuk mengukur kadar rasuah.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki Bersama Presiden NAZAHA, Mazin Ibrahim M. Al-Kahmous.

Hadir sama Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali serta Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Dato’ Mohd Hafaz Nazar.

Hit : 707