Berita Terkini

Warga Kementerian Perpaduan Negara Lafaz IBR, Komitmen Menentang Rasuah

Putrajaya, 16 Januari - Warga Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menzahirkan tekad bagi memperkukuhkan integriti dan mencegah jenayah rasuah bersama-sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tekad ini telah dizahirkan menerusi lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) membabitkan lebih 800 warga KPN yang diketuai oleh Ketua Setiausaha KPN, Datuk Azman Mohd Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bersempena  Majlis Amanat Menteri Perpaduan Negara Tahun 2024 di sini, hari ini.

Turut diadakan sesi menandatangani IBR antara Datuk Azman yang mewakili KPN manakala SPRM diwakili oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi yang disaksikan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang serta Timbalannya, Senator Saraswathy Kandasami.

Datuk Aaron Ago dalam ucapannya menyeru seluruh warga KPN dapat memulakan tahun baharu 2024 dengan azam dan semangat yang tinggi bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.

Sesi lafaz dan menandatangani IBR ini menyaksikan Kementerian Perpaduan Negara memberikan komitmen bersama SPRM untuk memerangi rasuah bagi menggalakkan amalan tatakelola baik serta budaya integriti dalam organisasi.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, TPj Nazli Rasyid Sulong

Hit : 753