Berita Menarik

BOK Perlu Fokus Kekalkan Momentum Hala Tuju Siasatan

Putrajaya, 16 Januari – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya berharap warga Bahagian Operasi Khas (BOK) akan terus mengekalkan momentum hala tuju sektor operasi di tahun baharu.


“Warga kerja Bahagian Operasi Khas (BOK) diingatkan sentiasa mengekalkan disiplin tinggi dan komited dalam melaksanakan tugas yang memfokuskan hala tuju sektor operasi SPRM bagi tahun 2024.


“Malah, warga BOK juga perlu meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran dari semasa ke semasa dalam menangani siasatan berprofil tinggi, berkepentingan awam dan berimpak tinggi," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat di Majlis Perjumpaan Pegawai BOK Bersama Pengurusan Tertinggi yang diadakan di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.


Dalam majlis tersebut, diadakan Sesi Penyerahan Surat Pelantikan Pengarah Kanan BOK kepada Dato’ Azmi Kamaruzaman oleh Dato’ Sri Ahmad Khusairi berkuatkuasa mulai 2 Januari 2024.


Selain itu, Dato’ Azmi turut menyerahkan Buletin BOK 2023 kepada Dato’ Sri Ahmad Khusairi yang berkisarkan mengenai perkongsian pengalaman serta kejayaan BOK dalam siasatan kes-kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam sepanjang tahun 2023.


Turut hadir Timbalan-Timbalan Pengarah, Ketua-Ketua Sektor, Ketua-Ketua Cawangan dan pegawai dan kakitangan BOK.


Hit : 620