Berita Menarik

Kerajaan Mengiktiraf Prestasi Cemerlang SPRM

Putrajaya, 15 Januari – Warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  telah membuktikan bahawa Suruhanjaya ini kompeten dalam memacu kecemerlangan sehingga berjaya mendapat pengiktirafan kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, kerajaan telah mengiktiraf dan memandang tinggi prestasi cemerlang SPRM, hasil kerjasama semua pihak membabitkan pelbagai sektor iaitu operasi, pencegahan, pendakwaan, pengurusan dan akademi secara kolektif.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih tidak terhingga kepada semua warga SPRM di atas ketekunan, kesungguhan, kecekalan dan kecerdikan semua dengan tidak mengenal penat, bagi menabur bakti kepada negara dalam membanteras rasuah di negara ini.

“SPRM maju ke hadapan dan berjaya meneruskan rentak konsisten tanpa mengenal penat lelah dan tidak kira apapun cemuhan pihak-pihak yang mencemburui kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Amanat Ketua Pesuruhjaya & Perhimpunan Bulanan Bil.1/2024 di Auditorium Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Beliau berkata, rasuah dan salah guna kuasa tidak boleh dibiarkan berleluasa dan tugas SPRM adalah untuk menghapuskannya sehingga menjadikan negara ini bebas rasuah.

Justeru, warga SPRM perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri bagi membanteras penjenayah ini sekaligus melumpuhkan kegiatan mereka.

Tan Sri Dato’ Sri Azam berkata, pencegahan juga perlu dilakukan dengan lebih berkesan agar tatakelola di agensi-agensi kerajaan dapat dipantau dan dikelola dengan baik bagi menutup ruang serta peluang rasuah.

Selain itu, beliau berkata strategi SPRM pada tahun 2024 masih sama seperti tahun lalu iaitu mengekang sebarang bentuk ketirisan demi meningkatkan hasil negara  melalui penetapan visi dan misi SPRM.

“Oleh itu, semua warga SPRM perlu mempunyai semangat esprit de corp dan semangat kebersamaan dalam mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Ini adalah berpandukan Pelan Strategik SPRM 2021-2025 yang bersifat holistik dalam memacu negara ke arah bebas rasuah melalui pemerkasaan penguatkuasaan yang berkesan, pencegahan rasuah menyeluruh dan pembudayaan integriti bagi memastikan SPRM kekal relevan dan efektif pada masa kini dan akan datang," katanya.

Dalam majlis itu juga, turut diadakan Majlis Menandatangani Key Performance Indicator (KPI) SPRM 2024 melibatkan Timbalan-Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Indera Junipah Wandi serta Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.
Hit : 713