Berita Menarik

SPRM, APMM Bincang Usaha Perkukuhkan Hubungan Kerjasama

11 Januari 2023 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima kunjungan hormat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi membincangkan kerjasama untuk memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak di sini hari ini.

Delegasi itu diketuai oleh Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Hj Mohd Amin dan diiringi oleh Pengarah Bahagian Perisikan APMM, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, serta Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim APMM, Laksamana Pertama Maritim Ahmad Faridi Ferdaus.

Mesyuarat yang berlangsung selama satu jam itu telah membincangkan beberapa isu penting termasuk mengenai perundangan dan kegiatan jenayah di Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki dan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid turut bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu penyeludupan di perairan negara yang mempunyai kepentingan bersama. 

“SPRM mengalu-alukan kerjasama bagi membanteras jenayah melalui penguatkuasaan Akta SPRM 2009.

“Kerjasama di antara SPRM dan APMM adalah bagi memastikan suatu tindakan itu lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid turut menzahirkan penghargaan kepada SPRM atas kerjasama yang diberikan dalam pengoperasian terdahulu yang dijalankan secara bersepadu. 

Mesyuarat ini juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan usaha dan inisiatif baharu untuk mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama khususnya dalam membanteras kegiatan jenayah rasuah.
Hit : 710