Berita Menarik

Zoo Negara Tekad Banteras Rasuah Bersama SPRM

Putrajaya, 9 Januari - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima kunjungan hormat daripada pengurusan Zoo Negara Malaysia yang bertujuan untuk mengekal dan memperkukuhkan kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Kunjungan tersebut diketuai Presiden Zoo Negara Malaysia, Dato’ Sr. Zaharin Md. Arif ini telah disambut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Pada pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam ini, Tan Sri Dato' Sri Azam telah menyatakan bahawa SPRM sentiasa menyambut baik peluang mengadakan kerjasama erat dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Zoo Negara Malaysia dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

"Saya juga cadangkan supaya SPRM dan Zoo Negara Malaysia dapat bekerjasama melaksanakan program melibatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Pelaksanaan CSR dapat membantu mendedahkan pegawai SPRM dengan melakukan aktiviti khidmat masyarakat dan kerja sosial membabitkan usaha pemuliharaan serta pemeliharaan hidupan liar," katanya.

Sementara itu, pihak Zoo Negara Malaysia turut menzahirkan penghargaan kepada SPRM atas kerjasama yang diberikan sekali gus memperkukuhkan kerjasama sedia ada.

Pihak pengurusan juga berbesar hati untuk membantu SPRM dalam memperkasakan pencegahan rasuah dan mengadakan beberapa program bersama pada masa akan datang.

Turut hadir Timbalan Presiden Zoo Negara Malaysia, Datuk Rosly Lana @ Rahmat A. Lana dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas), SPRM KPKPj Azmin Yusoff.

Hit : 880