Berita Menarik

TPj Rosley Bersara Wajib, 31 Tahun Berkhidmat Bersama SPRM

Alor Setar, 5 Januari- Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, TPj Rosley Mohamad Satar mula bersara wajib 7 Januari 2024 setelah 31 tahun berkhidmat bersama Suruhanjaya ini.


Beliau diraikan dalam Majlis Perbarisan dan Serah Terima Tugas yang diadakan di Pejabat SPRM Kedah di sini, semalam.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki dalam ucapannya berkata, SPRM amat menghargai segala jasa dan sumbangan TPj Rosley dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada SPRM.


"Bagi pihak warga SPRM, ribuan terima kasih juga saya ingin zahirkan kepada TPj Rosley atas khidmat bakti yang ditabur dan komitmen yang diberikan sepanjang perkhidmatan beliau di Suruhanjaya ini.


"Saya percaya khidmat beliau tidak terhenti di sini, bahkan boleh memberikan sumbangan tenaga dan berkongsi pengalaman kepada pegawai SPRM yang lama serta baharu khususnya berkaitan operasi selepas bersara nanti," katanya.


Malah, beliau juga dianggap sebagai seorang pegawai yang sangat komited dalam melaksanakan amanah yang diberikan serta turut aktif dalam bidang sukan.


Sementara itu, TPj Rosley dalam ucapannya berkata, pengalaman selama 31 tahun bersama SPRM mengajarnya erti disiplin sebagai penjawat awam dan berharap agar semua pegawai SPRM terus berusaha memberikan perkhidmatan cemerlang kepada Suruhanjaya ini.


Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada barisan Pengurusan Tertinggi SPRM atas segala sokongan, bimbingan dan kerjasama dalam melaksanakan amanah yang diberikan.


Pada majlis ini juga turut diadakan sesi serah terima tugas kepada Pengarah baharu, KPKPj Soock Wee Ei Tem selain acara simbolik "clock out" yang menandakan tamatnya perkhidmatan TPj Rosley yang disaksikan oleh Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki.


Turut hadir isteri kepada TPj Rosley Mohamad Satar merangkap Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) SPRM Kedah, Puan Zainon Salleh serta Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.



Hit : 1155