Kolumnis@SPRM

Memperkasakan Bahagian Forensik Teknologi SPRM dalam jenayah siber

Datuk Husin Mohamad Nasir
Pengarah Bahagian Forensik Teknologi
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Dengan kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia digital yang semakin pantas dan sentiasa berubah pada masa kini menyebabkan sesuatu kes jenayah yang berlaku semakin kompleks untuk diselesaikan.

Cabaran semakin besar sekiranya keupayaan sesebuah agensi penyiasatan tidak dilengkapi dengan peralatan atau perisian canggih serta pegawai yang berkepakaran untuk merungkai jawapan membabitkan kes-kes yang disiasat sama ada kes berprofil tinggi mahupun kes yang memerlukan pembacaan data-data digital.

Justeru, dalam usaha untuk memperkukuhkan sesuatu siasatan yang dijalankan, teknologi digital cukup meluas digunakan masa kini kerana ia bukan sahaja mampu membantu memendekkan tempoh siasatan tetapi fokus siasatan juga dapat diperhalusi.

Oleh yang demikian, kepentingan penyiasatan digital forensik amat relevan terutamanya dalam menyelesaikan kes jenayah, melindungi individu dan organisasi sekali gus menegakkan keadilan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak ketinggalan memiliki kepakaran dalam kaedah penyiasatan digital melalui penubuhan Unit Forensik Komputer di bawah Bahagian Siasatan pada 2003. Unit ini kemudian dikembangkan menjadi Cawangan Forensik dan Teknologi pada 2006 dan berupaya menganalisa komputer serta telefon bimbit. Selari dengan transformasi Badan Pencegahan Rasuah (BPR) kepada SPRM pada 2009, cawangan ini telah dijenamakan kepada Bahagian Forensik Teknologi (BFT) sehingga kini.

Bahagian ini memiliki lima cawangan iaitu Cawangan Forensik Komputer; Cawangan Forensik Telefon Bimbit; Cawangan Forensik Audio/Video; Cawangan Forensik Dokumen, serta Cawangan Rekod dan Pentadbiran.

Bahagian ini merupakan tulang belakang yang menyumbang kepada kejayaan membongkar penyelewengan dan amalan rasuah. Antara operasi berskala besar yang mengguna pakai perkhidmatan BFT adalah Op Pasir (2010), Op Sealord (2015), Op Water (2016), Op Mysikap (2019), dan Op Hack (2021). Dalam operasi kes-kes ini, BFT turut turun ke lokasi bagi mengenal pasti bahan bukti digital.

BFT seterusnya membuat pemeriksaan, menganalisa dan mengeluarkan laporan pemeriksaan forensik digital bagi ekshibit seperti peranti elektronik, komputer dan telefon pintar yang telah disita semasa operasi. Antara kekuatan BFT juga adalah dapat menganalisa dengan terperinci terhadap pengubahsuaian dokumen, tandatangan dan tulisan tangan. Data-data yang didapati daripada ekshibit tersebut dapat mengukuhkan pembuktian di mahkamah.

Dalam usaha untuk meningkatkan reputasi BFT, SPRM kini sedang dalam proses mendapatkan pensijilan ISO (International Organization For Standardzation) daripada pihak Jabatan Standard Malaysia (JSM) bagi makmal forensik digitalnya termasuklah kualiti tatacara kerja forensik yang dijalankan. Jika pensijilan ISO ini berjaya diperolehi, ini akan menjadikan makmal forensik digital pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan daripada JSM bagi keseluruhan empat makmal iaitu Makmal Forensik Komputer, Makmal Forensik Telefon bimbit, Makmal Forensik Audio/Video dan Makmal Forensik Dokumen.

Selain itu, dengan adanya pensijilan ISO ini juga, siasatan dan bukti yang dikemukakan oleh SPRM akan lebih diiktiraf dan diperakui di mahkamah. Sehingga kini, hampir 99 peratus kes yang dikendalikan oleh Bahagian Forensik Teknologi ini telah diterima oleh mahkamah sebagai bahan bukti.

Bagaimanapun, ia bukannya satu tugas yang mudah kerana ia perlu melalui beberapa proses yang ketat selain mematuhi piawaian antarabangsa yang tinggi.

Pada masa yang sama, SPRM turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pengetahuan dan mempertajamkan kepakaran pegawainya dalam menyiasat kes jenayah siber dan digital. Untuk itu, mereka dihantar menerima latihan secara berterusan di dalam dan luar negara.

Pegawai-pegawai di BFT dilengkapi dengan pelbagai bentuk ilmu kemahiran dan kepakaran yang boleh dianggap ‘dua langkah ke hadapan’, malah kehebatan BFT ini menyebabkan pihak SPRM sering dihubungi oleh agensi penguatkuasaan lain untuk mendapatkan bantuan dan kerjasama bagi menyelesaikan sesuatu kes digital yang kompleks.

Justeru, satu Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD) telah dibentuk oleh agensi-agensi yang mempunyai makmal forensik digital seperti CyberSecurity Malaysia (CSM), SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). KKFD ini menggabungkan pegawai makmal forensik digital dari pelbagai agensi penguatkuasa untuk berkongsi maklumat dalam bidang jenayah siber dan keterangan digital. Bagi Sesi 2023-2024, SPRM telah dilantik sebagai peneraju KKFD yang mana Timbalan Pengarah BFT, Wan Zulkifili Bin Wan Jusoh telah dipilih sebagai Pengerusi KKFD pada sesi kali ini.

Bagi memantap dan memperkukuhkan kerjasama antara agensi, KKFD kini sedang dalam proses pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sebagai sebuah pertubuhan. Ia akan berfungsi sebagai platform untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran, amalan terbaik dan pandangan pihak ketiga dalam menjalankan siasatan digital.

Yang pasti, menerusi usaha-usaha pemerkasaan yang dijalankan, SPRM berkeyakinan bahawa BFT mampu menjadi tenaga pakar dan pusat rujukan dalam menjalankan siasatan forensik teknologi serta berupaya merintis inisiatif terkini khususnya pemodenan siasatan berasaskan teknologi digital.

Hit : 1763