Kolumnis@SPRM

SPRM perlu lebih agresif, berani di bawah panduan baharu JKMR

Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim

Mantan Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR)

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

 

Minggu lalu, lima ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menerima surat cara pelantikan masing-masing. Di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, anggota JKMR dilantik Yang di-Pertuan Agong selama tiga tahun dengan pelantikan kali ini berkuat kuasa mulai 9 Oktober lalu. Pelantikan dibuat atas nasihat Perdana Menteri selaras Seksyen 14 Akta SPRM.


Mengikut peruntukan undang-undang semasa, JKMR mempunyai tujuh ahli. Bermakna dua daripadanya masih dalam tempoh lantikan. Oleh itu, fasa pelantikan kali ini untuk mengisi lima kekosongan.


Mengikut laporan media, lima ahli JKMR baharu ialah Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang turut diberikan amanah sebagai Pengerusi, manakala empat lagi ialah Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Mohamad Shafizan Kepli (Batang Lupar); Lo Su Fui (Tawau) dan Young Syefura Othman (Bentong).


Pengerusi JKMR kali ini pastinya tokoh berpengalaman luas dalam undang-undang, termasuk pernah memegang portfolio menteri bertanggungjawab kepada Parlimen.


Ahli JKMR berperanan menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek permasalahan rasuah dalam negara. Selain itu, jawatankuasa itu juga dikehendaki mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM dan ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) terhadap perjalanan serta fungsi SPRM. LPPR adalah satu daripada empat badan bebas memantau dan menasihati SPRM.


Selaku mantan anggota JKMR, saya mengucapkan tahniah atas pelantikan mereka. Saya berharap mereka dapat membantu SPRM memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti Suruhanjaya itu dalam menunaikan fungsinya.


SPRM mempunyai lima badan ditubuhkan untuk memantau perjalanannya. Kita perlu bangga, ia satu-satunya entiti penguat kuasa undang-undang di negara ini mempunyai lima badan pengawas dengan kira-kira 40 anggota mewakili pelbagai lapisan masyarakat, termasuk anggota Parlimen. Malah, model perjalanan dan pentadbiran SPRM dijadikan contoh oleh banyak negara.


Penubuhan SPRM ada hubung kait dengan kewujudan lima badan bebas. Transformasi Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM, mulai Januari 2009, bukan pada nama semata-mata. Perubahan ini bertujuan meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kebebasan dan ketelusan tindakan pencegahan rasuah, sekali gus menangkis persepsi negatif terhadap entiti itu yang sebelumnya dianggap tidak bebas dan telus.


Justeru, mekanisme semak dan imbang diwujudkan melalui pembentukan LPPR, JKMR, Jawatankuasa Aduan (JKA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) bersama-sama penubuhan SPRM untuk memantau, menasihati serta memastikan fungsi dan tanggungjawabnya dilaksanakan dengan cekap, berkesan, bebas dan telus.


Ini keunikan SPRM diberikan tanggungjawab dan amanah untuk memastikan negara bebas daripada elemen rasuah.


Kewujudan lima badan bebas itu menyediakan mekanisme dinamik dan konstruktif untuk SPRM bertindak bebas, adil dan profesional. Sejak kewujudannya, JKMR berperanan dengan efektif dalam memastikan senarai tanggungjawab digariskan di bawah Akta SPRM.


Lahirkan negara bebas rasuah


Selaku wakil rakyat dipilih pengundi, terutama dalam kalangan anggota Dewan Rakyat, umum meletakkan harapan tinggi bagi memastikan matlamat dan sasaran kelahiran negara benar-benar bebas daripada rasuah tercapai.


Penting juga diingatkan, pengumuman pelantikan ahli baharu JKMR dibuat beberapa hari selepas pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 di Dewan Rakyat antara lain mendedahkan kehilangan atau kerugian wang awam sebanyak RM681.71 juta seperti pengurusan Program Penanaman Padi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyumbang faktor terbesar iaitu RM448.87 juta.


Ia diikuti pengurusan dua projek Pembangunan Hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) berjumlah RM14.33 juta; Pengurusan dan Kawal Selia Senjata Api Jabatan dan Agensi Kementerian Dalam Negeri (RM6.34 juta).


Hasil pengauditan dilaksanakan LKAN, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata Jabatan Audit Negara (JAN) mengemukakan 55 syor untuk diambil tindakan oleh kementerian/jabatan/agensi berkaitan.


Kehilangan atau kerugian wang awam hakikatnya sangat serius. Perkembangan itu secara langsung ada hubungan dengan kemungkinan elemen rasuah, tidak berintegriti dan tidak bertanggungjawab. Elemen pertama berkait rapat dengan tugas dan fungsi SPRM bertungkus-lumus untuk memerangi rasuah.


Perkara diketengahkan LKAN bukanlah baharu. Banyak laporan LKAN sebelum ini menekankan keperluan memperbaiki pengurusan kewangan dengan baik, termasuk mengelak ketirisan. Antaranya, disebabkan elemen rasuah dan tidak berintegriti. Kita perlu melakukan pendekatan lebih produktif agar kekurangan disebutkan LKAN dan SPRM tidak berulang.


Setiap rakyat, tidak kira jawatan dan kedudukan, sama ada pekerja sektor swasta atau kerajaan, mempunyai tanggungjawab memastikan kita bebas daripada amalan tidak sihat. Jika dibiarkan berlarutan akan merugikan rakyat dan menggugat kestabilan negara.


Usaha perlu dipergiatkan dalam semua sudut bagi memastikan setiap penjuru operasi dan urusan bebas daripada tindakan atau perbuatan boleh membawa gejala rasuah.


Kita perlu ada komitmen dan iltizam untuk mencapai sasaran persekitaran bebas rasuah di semua peringkat dan sektor. Kajian menunjukkan rasuah berlaku berpunca banyak faktor, termasuk kegagalan individu mengawal hawa nafsu, sifat tamak, definisi integriti dan ada yang dikatakan mahu memburu kekayaan dengan cepat.


Keadaan ini menimbulkan persoalan keutuhan sistem dan mekanisme diambil bagi memerangi rasuah serta salah guna kuasa dan apa juga kes membabitkan budaya berintegriti di agensi awam. Tindakan secara kolektif perlu diberi penekanan secara konsisten untuk mencapai sasaran sifar rasuah dan mengukuhkan budaya berintegriti.


Saya yakin JKMR di bawah kepemimpinan pengerusi baharu akan membawa perubahan dan pembaharuan lebih kukuh agar SPRM bergerak agresif, berani serta membina untuk mencapai matlamat melahirkan negara bebas rasuah.


Banyak cadangan pernah digariskan barisan kepemimpinan JKMR sejak satu dekad lalu. Ia diharap dilaksanakan dan menjadi realiti demi manfaat semua pemegang taruh, rakyat dan negara.


Saya yakin SPRM akan diperkasakan lagi di bawah panduan dan bimbingan JKMR semasa, termasuk menyediakan kuasa perundangan holistik kepada SPRM untuk bergerak.


Hit : 1436