Kolumnis@SPRM

Sukarkah Menzahirkan Komitmen Antirasuah?

Nazli Rasyid bin Hj Sulong

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat,

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

 

TAHUN ini merupakan ulangtahun ke-56 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),   agensi khusus yang melaksanakan penguatkuasaan undang-undang rasuah serta bertanggungjawab dalam menggerakkan inisiatif pendidikan antirasuah di negara kita. Ini bermakna selama usia penubuhannya jugalah, SPRM telah fokus menjalankan fungsinya untuk mencegah jenayah rasuah daripada terus berleluasa.


Namun seiring dengan perubahan zaman, teknologi dan kepintaran manusia, jenayah rasuah juga turut tidak ketinggalan mengalami revolusi. Jika dahulu rasuah boleh dikesan dengan mudah, kini ianya lebih lutsinar dan ampuh daripada pandangan mata kasar. Malah bukan suatu perkara yang pelik jika transaksi rasuah boleh berlaku tanpa melibatkan pergerakan fizikal atau material untuk dibuktikan. Ia bukan lagi dalam bentuk wang ringgit semata, malah ia boleh menjangkau  sehingga barang berharga atau mata wang maya.


Seiring jenayah yang semakin canggih dengan pelaku yang semakin licik, undang-undang berkaitan rasuah di Malaysia juga sentiasa ditambah baik dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Jika 10 tahun dahulu undang-undang rasuah hanya tertakluk kepada inidividu sahaja, kini telah wujud peruntukan khas untuk organisasi komersial bagi memastikan kebertanggungjawaban korporat untuk melaksanakan perniagaan dalam persekitaran yang berintegriti dan bebas rasuah.


Mendidik Masyarakat dan Individu


Sekiranya perundangan sudah diperkukuh dan mekanisme kawalan dalaman telah ditetapkan, langkah seterusnya ialah mendidik setiap individu dalam negara ini untuk memandang jijik kepada perbuatan rasuah. Seharusnya wujud kesepaduan dalam setiap individu untuk bersetuju bahawa rasuah itu adalah jenayah dan bukan sesuatu yang perlu dipandang dengan rasa belas kasihan atau simpati.


SPRM telah secara aktif mengambil pendekatan mendidik setiap peringkat masyarakat untuk membenci rasuah. Program Wira Anti-Rasuah (WAR) disasarkan khusus bagi audiens di peringkat sekolah (rendah dan menengah) manakala Angkatan Mahasiswa Anti-Rasuah (AMAR) pula telah diadaptasi di peringkat institusi pengajian tinggi.


Bukan itu sahaja, bermula pada tahun ini, Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) telah dilaksanakan sebagai kursus wajib dalam Mata pelajaran Pengajian Umum di semua Institusi Pengajian Tinggi di negara ini. Jadi boleh dikatakan usaha mendidik dan memberi pendedahan awal nilai positif dalam usaha menghindari rasuah ini telah jelas dilaksanakan diperingkat awal pendidikan.


Bagaimana dengan mereka yang sudah keluar dari sistem pendidikan? Untuk kelompok masyarakat lain, sentiasa wujud inisiatif-inisiatif memberi pendidikan pencegahan rasuah berterusan oleh SPRM.


Program libat urus dengan masyarakat diadakan secara khusus mengikut kelompok audiens. Contohnya, penganjuran program bersemuka bersama kelompok belia diadakan dari semasa ke semasa menerusi kumpulan atau persatuan belia. Tidak ketinggalan program bersemuka yang dianjurkan mengikut kaum (Cina dan India) sentiasa dialu-alukan.


Begitu juga kempen kesedaran yang tidak henti-henti ditayangkan di hadapan mata rakyat Malaysia. Baik mesej ingatan di lebuh raya hinggakan peringatan mesra di ruang maya atau ingatan ringkas di halwa telinga, semua telah diusahakan.


Tanggungjawab Menzahirkan Komitmen


Walaupun hakikatnya sudah lebih lima dekad usaha mendidik masyarakat dilaksanakan secara menyeluruh dan proaktif, namun cabaran terhebat dalam menangani pencegahan rasuah ini ialah mendapatkan dan memelihara sokongan berterusan masyarakat umum dalam memerangi rasuah. Bagaimana untuk menzahirkan komitmen memerangi rasuah?


Ikrar Bebas Rasuah (IBR) adalah antara penzahiran komitmen yang paling mudah untuk dilaksanakan baik oleh sektor awam, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan. Lafaz ikrar dan janji secara sukarela oleh seluruh organisasi yang akan diketuai oleh kepimpinannya ini bertujuan menyematkan kebertanggungjawaban dan komitmen setiap warga organisasi untuk melaksanakan tugas dengan berintegriti. Untuk makluman sehingga 31 Oktober 2023 sebanyak 2,049 organisasi (awam, swasta dan NGO) telah menandatangani IBR sebagai satu penzahiran komitmen antirasuah mereka.


Bagi mempelbagaikan dan menggalakkan penzahiran komitmen antirasuah dari entiti korporat pula, insentif potongan cukai bagi pelaksanaan program integriti dan antirasuah yang melibatkan komuniti telah dilaksanakan berkuatkuasa 5 April 2021. Ianya merupakan suatu peluang yang baik untuk syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan di Malaysia (termasuk Koperasi) mengambil peluang melaksanakan aktiviti antirasuah bersama komuniti untuk menzahirkan komitmen organisasi anda.


Menyatukan Dunia Memerangi Rasuah


Tarikh 9 Disember ini merupakan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) yang telah dipersetujui oleh 190 negara yang menyertai United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) termasuk Malaysia dengan mengangkat tema Uniting The World Against Corruption (Menyatukan Dunia Menentang Rasuah). Tema ini menekankan kepentingan kesatuan dan kesepaduan setiap individu  dalam memerangi jenayah rasuah yang boleh memberi impak kepada keamanan, keselamatan dan pembangunan sesebuah negara.


Penting untuk setiap pihak bersatu-padu dalam menentang rasuah memandangkan salah satu Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG2030) ‘rasuah’ adalah salah satu risiko yang perlu ditangani dalam memastikan pembangunan, keamanan dan kestabilan negara dapat dicapai.


Sokong dan sertai usaha SPRM memerangi rasuah pada 9 Disember ini dengan menyatakan pandangan positif, mesej atau sokongan anda dilaman sosial dengan meletakkan tanda pagar #hara2023 #iacd2023 #sprmpencegahan. Selamat Hari Antirasuah Antarabangsa!


Hit : 1176