Berita Menarik

SPRM Seru Golongan Pelajar Sebagai Pemimpin Masa Hadapan Perlu Galas Tanggungjawab Membanteras Rasuah

BUKIT JALIL,9 Dis - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru agar golongan pelajar sebagai pemimpin masa hadapan menggalas tanggungjawab membanteras rasuah sebagai usaha menjadikan negara bebas rasuah.

 

Seruan ini dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali pada majlis perasmian Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2023 dengan tema "Uniting The World Against Corruption", yang diadakan secara bersemuka dan secara dalam talian melibatkan 500 peserta di Asia Pacific University (APU).

 

"Kerajaan telah memperkenalkan Ekonomi MADANI dengan menetapkan salah satu petunjuk prestasi utama sebagai sasaran yang perlu dicapai dalam tempoh 10 tahun menjadikan Malaysia dalam kedudukan tangga ke 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

 

"Ini hanya boleh dicapai jika tanggungjawab ini dimulakan oleh kita sekarang dan generasi selepas ini agar cakna dengan isu rasuah yang berlaku di sekitar kita, mengambil tindakan yang wajar supaya tidak terus berlaku dan memastikan kekal bebas dari rasuah.

 

"Peranan ini perlu dilaksanakan secara kolektif oleh anda, SPRM dan entiti lain. Tanpa satu daripada yang lain, kita akan gagal dalam usaha negara untuk berada dalam kedudukan 25 tersebut," sebelum mengakhiri ucapan selain merakamkan penghargaan kepada APU dan Malaysia Association of Private Colleges and Universities (MAPCU) atas kerjasama menjayakan kemuncak HARA 2023 peringkat zon tengah.

 

Di majlis yang sama, Datuk Seri Norazlan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang video TikTok terbaik dan video Tiktok dengan jumlah 'like' terbanyak anjuran APU dan SPRM.

 

Majlis tersebut turut mengumumkan peserta ke sejuta telah terdidik berkaitan antirasuah, Nur Ain Atikaazwani binti Yusof, pelajar Kolej Saito, menerusi data daftar kehadiran program SPRM yang dikira mulai 2015 hingga kini.

 

Turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif Asia Pacific University of Technology &Innovation (APU), Datuk Parmjit Singh, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, TPj Nazli RasyidHaji Sulong dan Pengarah-pengarah SPRM Negeri.


Hit : 1559