Berita Terkini

Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Dan Pelancaran Buku Himpunan Inovasi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu 2010 - 2023

KUALA TERENGGANU, 22 Nov – Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dengan kerjasama SPRM Negeri Terengganu telah menganjurkan Majlis Pelancaran Buku Himpunan Inovasi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu 2010-2023 dan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Bilik Gerakan, Aras 5, Bangunan Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

 

 

Majlis ini dihadiri kira-kira 50 orang terdiri daripada Hakim Mahkamah Rendah, Hakim Mahkamah Tinggi termasuk Yang Amat Arif Dato’ Haji Wan Mohd Zakri bin Wan Mohd, Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu serta kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah seluruh negeri Terengganu.

 

 

Majlis ini telah dirasmikan oleh YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Dato' Seri Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK). Dalam ucapan, beliau menyeru agar sentiasa mengukuhkan tadbir urus yang baik dan kepimpinan yang berintegriti. Di kesempatan itu juga beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada SPRM Negeri Terengganu di atas sokongan yang tidak putus-putus kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan program-program pencegahan rasuah.

 

 

Majlis ini diakhiri dengan sesi Lafaz dan Menandatangani IBR serta  penyerahan dokumen IBR oleh Tuan Haji Kamalruazmi bin Ismail, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu, dengan disaksikan oleh KPKPj Hazrul Shazreen bin Abd Yazid, Pengarah SPRM Negeri Terengganu.

 

 

Turut hadir Datuk Mazli bin Malik, Ketua Polis Terengganu, PKPj Sofian bin Haroon, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Negeri Terengganu, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai SPRM Negeri Terengganu.


Hit : 1495